Otak kita sebagai sebuah mesin sentiasa sahaja bekerja tidak mengira waktu dan tempat. Sehinggakan kadang-kadang terbawa-bawa dalam mimpi. Rehatnya otak ialah dengan memalingkan minda dari kesibukan dan simpang siur pemikiran yang tidak berkesudahan. Minda manusia walau bagaimanapun hebatnya tidak terlepas dari pengaruh nafsu yang sentiasa mendorongnya untuk tidak berpuashati dengan apa yang ada di tangannya. Semakin dikejar dunia itu semakin kuat pecutannya dan sudah tentu tidak terkejar. Kejar-mengejar ini pada fizikalnya tidak salah pada dasarnya dalam mana-mana institusi dan aliran pemikiran yang matang, Cuma yang salah ialah ia sampai menggangu dan menghantui pemikiran. Jika fenomena ini dibiarkan kelak ia akan terjerumus ke lembah kebinasaan dan kehinaan. Lambat laun ia akan menjadi satu pegangan dan fahaman yang teramat-amat sukar untuk dirungkaikan sebagai satu fahaman kebendaan dan meterialistik serta akhirnya berakar-umbi. Faham meterialistik ini tidak habis di situ sahaja, ia akan terus menular dan membarah dan menghasilkan bermacam-macam simpton yang tidak berkesudahan, kronik dan hanya kesudahannya tidak dapat diubat lagi, hanya menunggu saat-saat nazaknya sahaja.
Kesibukan kejar-mengejar tadi menyebabkan fikiran tidak keruan dan tekanan fikiran yang meningkat. Maklumlah selalunya yang dikejar tak dapat dan yang dikendong berciciran. Fikiran kini telah bercabang, menoleh ke belakang dan meneropong ke hadapan. Lumrahnya manusia akan mencari pengubat untuk cuba menghilangkan atau sekurang-kurangnya meredakan tekanan dan stress tersebut. Selalunya, mereka sekurang-kurangnya akan memilih untuk berhibur, barangkali jika tidak melupakan terus biarlah dapat melupakan barang seketika. Masyarakat Jepun umpamanya, mereka terkenal dengan sikap rajin berusaha dan progresifnya, tapi sebagai insan biasa tidak dapat lari dari gejala ini. Mereka kuat bekerja tapi sebaliknya mereka kuat juga berhibur. Masyarakat Barat pula kurang bekerja tapi banyak berhibur. Hiburan ni pula macam-macam kategorinya ada bentuk jamu mata, jamu telinga, jamu tangan jamu perut, dan semuanya sekali jamu pun ada. Jika inipun tidak berapa berkesan mereka akan cuba hilangkan fikiran waras mereka, dengan arak, dengan macam-macam jenis dadah. Bab hiburan ini sebenarnya luas dan perlukan ruangan yang khusus, termasuk bermacam-macam jenis arak dan dadahnya. Baru-baru ni dijumpai makmal memproses dadah di Rawang bertaraf international dan global, memang hebat Malaysia kita ni, tak main ‘local-local’.
Solat juga mempunyai kelebihan dari sudut fizikal dan jasmani. Senaman itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu meregangkan otot dan kecergasan. Regangan otot berlaku ketika melakukan aktiviti-aktiviti sembahyang seperti ruku’ dan duduk antara dua sujud. Umat Islam digalakkan untuk menunaikan solat berjemaah di tempat azan diazankan. Senaman terbaik ialah berjalan kaki dan sesuai dilakukan oleh segenap peringkat umur, lagi jauh berjalan sebenarnya lagi baik. Bayangkan jika kita melakukan senaman berjalan kaki sebanyak lima kali sehari tentunya kita mendapat senaman yang cukup dan dibuktikan oleh pakar perubatan bahawa hanya dengan setengah jam sehari berjalan dapat mengurangkan atau menghindarkan penyakit-penyakit seperti kencing manis. Amalan bersujud pula lebih kepada melancarkan perjalanan darah, kerana itu ada kebaikan jika bersujud lebih lama sedikit sekurang-kurangnya selama tiga kali membaca tasbih. Ada saraf-saraf tertentu di dalam otak yang tersangat halus tidak menerima peredaran darah melainkan dengan melakukan pergerakan seperti sujud. Seorang saintis telah masuk Islam hanya kerana menemui fakta yang seni ini. Tidak hairanlah jika orang yang tidak melakukan sujud tidak mempunyai minda yang cergas dan tidak dapat menghasilkan penilaian-penilaian seni terutama dalam hidup bermasyarakat.
Orang bukan Islam sering bertanya kenapakah sembahyang itu mempunyai banyak pergerakan. Selain sembahyang itu merupakan senaman ia juga memberikan ruang kepada minda untuk bergerak cergas aktif. Cara otak bekerja berkait rapat dengan pergerakan anggota badan yang lain. Kita tidak sayogianya memerah otak dengan memaksa ia bekerja terutama dalam menghasilkan sesuatu ilham atau penemuan yang baru. Apa yang penting ialah sediakan sebatang pen dan buku kecil. Sebaik sahaja ilham tercetus, pen yang berada ditangan terus menulis apakah penemuan baru itu. Seorang yang cergas fizikal, akan cergas jugalah mindanya, begitulah sebaliknya. Seorang yang lambat pergerakannya juga lambat capaian mindanya. Perhatikan kunang-kunang, cahaya hanya dikeluarkan hanya apabila ia terbang. Cahaya itu adalah kecergesan minda dan pergerakan itulah pergerakan yang banyak dalam sembahyang. Contoh yang lain, kenapa pelajar Cina lebih pintar dari pelajar melayu, kita dapat perhatikan sistem pembelajaran mereka ialah guru memberikan banyak latihan-latihan di rumah dan terpaksa mereka siapkan dalam tempoh yang singkat. Latihan-latihan yang banyak itu menjadikan mereka cekap dan cepat dan akhirnya menjadikan fikiran mereka juga cepat berfikir. Tidak syak lagi kecergesan minda adalah sering sinonim dengan pergerakan badan.
Solat juga mempunyai maksud dari segi menjaga waktu dan kesihatan, dengan erti kata yang lain, menjaga sembahyang bermakna kita menjaga waktu dan kesihatan. Seorang yang sihat tentu memulakan waktu hariannya dengan bangun dari tidur seawal mjungkin. Hidup adalah perlumbaan. Barangsiapa yang mermulakan perlumbaan yang paling awal bermakna dia adalah seorang johan. Hari bermula dengan terbitnya fajar dan sebelum memulakan kerja harian, kekuatan azam dan semangat baru perlu disegar bugarkan supaya hari ini lebih baik dari hari semalam. Solat Subuh adalah solat yang paling ringkas dan mengaktifkan kembali tenaga dalaman itu. Setelah minda dan fizikal dikerahkan semampu mungkin, maka tibalah masanya untuk berehat di pertengahan hari dengan memalingkan minda dari ketegangan otak dan otot berupa solat zohor. Mengerjakan solat bukanlah sesuatu yang membebankan kerana ia boleh dikerjakan pada waktu yang luas dan di mana-mana sahaja dengan hanya mencelah pada waktu-waktu yang sesuai. Dari segi penggunaan bahasa bagi waktu-waktu harian, Bahasa Ingeris dilihat lebih kemas dari bahasa Malaysia kerana ia mempunyai lima waktu iaitu morning, noon, afternoon, evening dan night dan penggunaan waktu-waktu begini amat sesuai untuk solat-solat yang lima waktu. Sebelum kita mengucapkan selamat kepada sesama insan, kita terlebih dahulu perlu menyatakan kesyukuran kita kepada Pencipta yang telah memanjangkan lagi umur kita kepada waktu-waktu tersebut secara mengerjakan solat. Dari sudut kesihatan pula, kesihatan badan bermula dengan kesihatan perut. Kesihatan perut pula bermula dengan kesihatan gigi. Menggosok gigi terlalu digalakkan kepada umat Islam terutama sebelum mengerjakan solat. Kita diajar oleh pakar kesihatan supaya menggosok gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari. Tapi kita diajar oleh Nabi supaya menggosok gigi sekurang-kurangnya lima kali sehari. Muslim yang benar-benar menjaga tertib sembahyang tentunya mempunyai kesihatan yang betul-betul jitu dan tentunya berjaya dalam hidup kerana berdisiplin dalam menjaga waktunya.
Untungnya menjadi seorang muslim ialah ia mendapat ucapan salam sejahtera dari sahabat semuslim yang lain sekurang-kurangnya 10 kali sehari semalam. Katakan anggaran kasar umat Islam seluruh dunia berjumlah ialah 1 billion. Jika 5 kali sehari semalam ia bermakna 10 billion sehari seorang muslim mendapat salam dari sahabat-sahabatnya seluruh dunia belum dikira ucapan salam dari para malaikat, jin muslim, binatang-binatang lain dan sebagainya. Bila seorang muslim memberi salam, bermakna ia memberi salam kepada seluruh sahabat-sahabatnya lain yang muslim seluruh dunia. Bagaimana perkara ini boleh berlaku, tidakkah dunia ini berbentuk sfera, apabila seorang muslim memberi salam ke kanan, bermakna salamnya berpusing mengikut bentuk bumi yang sfera itu dan salamnya sampai kepada seluruh sahabatnya seluruh dunia, begitu juga bila ia memberi salam ke kiri. Oleh itu sembahyang juga merupakan nilai kemasyarakatan dan kesejahteraan sesama muslim. Dalam dunia globalisasi seperti sekarang tidak sepatutnya kita hanya memikirkan diri sendiri sahaja, bahkan kita perlu fikirkan nasib keluarga kita yang lain, jiran kita, negeri kita, negara kita dan akhirnya dunia kita, adakah kita semuanya berada dalam selamat dan sejahtera seperti kita. Jika tidak adakah kita merasa risau terhadap kesejahteraan mereka, jika kita merasa risau, apakah tindakan yang kita lakukan. Iringilah dengan doa sebagai ikhtiar yang paling minima jika tidak dapat melegakan kepahitan dan kedhaifan hidup mereka berupa jihad nyawa atau jihad harta.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment