Sunday, April 26, 2009

BETAPA DEGILNYA MANUSIA INI

Beberapa kurun yang lepas, lahirlah seorang utusan Allah bernama Musa. Lahirnya dalam keadaan sukar di saat-saat pemerintah pada masa itu mengeluarkan arahan supaya dibunuh setiap bayi lelaki yang dilahirkan lantaran terlampau percaya kepada ramalan ahli nujum. Baginda Musa dipelihara dan dibesarkan di istana Firaun sendiri. Bila dewasa dianggap musuh oleh Firaun dan terpaksa melarikan diri ke Madyan dan di sana telah berjumpa dan berguru dengan nabi Syuib, selepas itu menjadi menantu baginda dengan mas kahwin bekerja selama 8 tahun tapi nabi Musa telah menyempurnakan dengan melengkapkan selama 10 tahun. Selepas itu baginda mengembara pulang ke Mesir. Dalam perjalanan tersebut Musa telah mendapat wahyu sebagai rasul. Tongkat yang dibawa bersama dikatakan pemberian Nabi Syuib.

Jika diperhatikan pada rasul dan anbiya` yang disebut dalam AlQuran semuanya berhadapan dengan pemuka-pemuka, pembesar-pembesar dan raja-raja pada zaman masing-masing. Sebagai contoh Nabi Ibrahim berhadapan dengan Namrud, Nabi Musa dengan Firaun dan Nabi Muhammad dengan Abu Jahal dan Abu Lahab sebagai Perdana Menteri Makkah pada masa itu. Mengapa begitu?.. Ini adalah kerana memang sifatnya kebenaran itu seperti air sungai yang terus mengalir tanpa henti. Sudah lumrahnya kebenaran itu mempunyai bukti dan hujah yang kuat yang tidak dapat dan tidak mungkin disangkal. Arusnya berterusan dan sentiasa menerima kekuatan baru. Apabila sudah cukup kuat ia akan melanda apa sahaja halangan di hadapannya. Ia bersifat lembut, namun tidak selama-lamanya ia akan berlembut. Apabila berkuasa ia akan menyuburkan tanah yang mati dan gersang selama ini. Ia akan menghilangkan dahaga setiap yang kebuluran. Ia tidak akan membiarkan kekeringan dan kegersangan terus menerus. Begitulah sifatnya kebenaran itu, tidak akan membiarkan kesesatan, penyalahgunaan kuasa dan kebejatan sosial berterusan selamanya. Ia akan menolak segala kezaliman dan kediktatoran yang menguasai alam. Apabila cahaya kebenaran itu dibiarkan malap lama-kelamaan kegelapan kedurjanaan akan menguasai alam. Ketika inilah gelap kesesatan akan bermaharajalela dengan berbagai-bagai masalah politik, ekonomi dan sosial. Manusia-manusia duniawi tidak akan faham kenapa pelbagai jenayah dan penyakit sosial berlaku. Dulu mereka tak pernah mendengarnya. Tapi akhir-akhir ini suasana aman dan sentosa telah bertukar menjadi ketakutan dan kegerunan di negara kita. Nabi Muhammad telah berjaya menukarkan suasana yang buruk dan ketakutan menjadi aman dan sentosa dengan mengislam negara Madinah dan Makkah. Di bawah pemerintahan Islam, seorang wanita boleh berjalan seorang diri dari Yaman ke Hadramaut tanpa ada langsung rasa takut dan bimbang.

Kalau dulu kita tak pernah mendengar kes-kes jenayah berat seperti ragut, pecah rumah, bunuh dan sebagainya. Angka-angka yang menunjukkan kepada peningkatan penyakit-penyakit sosial begitu menakutkan. Berjuta penagih dadah, peningkatan ketara penghidap AIDS begitu menggerunkan. Kalau dulu kita mendengar dari negara luar tentang penghidap AIDS dan semua orang rasa kecut perut. Tiba-tiba kita mendengar kes pertama di negara kita, kita semua gempar dan terkejut. Namun sekarang kes-kes AIDS telah menjadi lumrah dan tidak sehebat dulu lagi. Bahkan kita pernah mendengar kisah pengantin AIDS dan seumpamanya. Rupa-rupanya sesuatu perkara dianggap luar biasa dan pelik jika berlaku di tempat orang tetapi dianggap biasa dan lumrah jika perkara yang sama berlaku di tempat kita sendiri. Di anggap ganjil dan aneh kalau kuantitinya sedikit tapi dianggap lumrah jika sudah berlipat kali ganda angkanya. Kita bersikap cepat berpuas hati atas sudah lumrah alasan negara maju dan membangun adalah selaras dengan peningkatan kes-kes seperti itu. Adakah betul begitu?. Adakah betul kemajuan dan pembangunan itu semestinya seiringan dengan peningkatan jenayah dan penyakit-penyakit sosial. Kalau begitu kita maju dengan mengorbankan maruah bangsa dan agama. Adakah pembangunan dan kemajuan itu bererti kerosakan dan kemusnahan masyarakat?.. Kita sering mendengar orang politik beretorik berkorban untuk kemajuan negara. Adakah kita perlu mengorbankan keamanan dan kesejahteraan masyarakat semata-mata demi melihat bangunan-bangunan terpacak sekeliling kita?. Kenapa kita membandingkan dengan negara-negara maju seperti Jepun umpamanya, mereka mempunyai sikap yang positif dalam bekerja dan mereka percaya penyakit sosial akan meruntuhkan kemajuan kebendaan yang mereka kecapi. Cuba lihat negara Singapura pula, mereka terlalu berhati-hati untuk meluluskan pusat perjudian umpamanya. Hanya baru-baru ini sahaja Perdana Menteri mereka meluluskannya itu pun setelah sekian lama Malaysia mempunyai pusat perjudian di Genting Highland. Lee Kwan Yu amat berhati-hati dengan gejala sosial sehingga beliau tidak pernah meluluskannya semasa beliau memegang jawatan Perdana Menteri.

Apabila Nabi Musa menunjukkan mukjizatnya kepada Firaun, lantas Firaun mencabar Nabi Musa dengan menunjukkan kelebihan tersebut di hadapan khalayak ramai. Firaun menganggap keistimewaan Musa tak lebih dari berupa sihir semata-mata dan yakin pakar-pakar di zamannya tentu dapat menandinginya. Sememangnya zaman firaun adalah kemuncak dalam era kepintaran dan kelebihan ilmu sihir. Oleh itu dengan kebijaksanaan Allah Yang Maha Berkuasa, telah mengurniakan mukjizat tongkat tesebut semata-mata untuk menundukkan sihir. Masyarakat Mesir memang memuja dan mengagung-agungkan sihir sehingga pakar-pakar sihir boleh mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Firaun.

Firaun dalam pemerintahannya masih bercirikan demokrasi. Dia hanyalah zalim kepada Bani Israel kerana politiknya berwarnakan nasionalis dan tetap mendaulatkan bangsa Qibti. Firaun dengan keterbukaan politiknya tanpa rasa teragak-agak mempertontonkan pertandingan itu untuk tatapan rakyat jelata. Arahannya untuk membunuh bayi-bayi lelaki semata-mata takut takhtanya dirampas. Begitu juga keadaan kita sekarang. Sudah resam orang politik, tiada apa yang perlu ditakutnya. Mereka tidak risau ekonomi merudum kerana pinjaman dan bon luar negara boleh dibuat. Nanti rakyat yang akan menjelaskannya atas nama kemajuan negara. Lagipun bukan bayaran langsung tapi melalui kenaikan cukai, tarif bil dan harga barangan. Rakyat marhain yang kebanyakannya bodoh dari sudut politik tentu mudah menerima alasan yang remeh temeh. Orang politik juga tidak takutkan kuasa undang-undang kerana dia berada lebih di atas dari undang-undang. Tiada apa pun yang perlu ditakuti dan digeruni. Dia juga sebenarnya tidak takutkan Allah kerana Tuhan baginya hanyalah istilah simbolik kekuasanannya. Dia pun tetap liat untuk mendaulatkan undang-undang Allah. Hakikatnya dialah Tuhan lantaran segala-galanya ditentukan olehnya. Baginya kuasa Allah hanyalah menjadikan langit dan bumi tapi membiarkan ia ditadbirkan oleh Tuhan bumi berupa manusia sepertinya. Hanya yang ditakutinya adalah kesedaran rakyat secara menyeluruh. Itulah sebabnya diadakan pelbagai sekatan dan undang-undang untuk menakutkan rakyat supaya tidak bangkit menentang kekuasaannya.

Nabi Musa mengajak kepada kebenaran secara bersemuka dengan Firaun memandangkan Firaun adalah raja yang merupakan penghalang terbesar rakyatnya mendapatkan laluan kepada pemikiran yang waras dan akhirnya menerima kebenaran. Al Quran mengisahkan gaya pimpinan Firaun dengan meringan-ringankan dan memperbodohkan pemikiran rakyatnya. Allah menempelak dengan sinis sekali polisi Firaun yang tidak waras itu. Walaupun pakar-pakar sihir yang profesional telah dapat dikalahkan oleh Musa namun Firaun dan para pengikutnya masih tidak mahu mengakui kelebihan mukjizat itu sebagai bukti dari Tuhan. Firaun masih mempercayai bahawa itu semua adalah mainan sihir Musa dan menuduhnya sebagai mahaguru sihir. Rupa-rupanya akal fikiran manusia sememangnya dangkal untuk membezakan antara sihir dan mukjizat. Mukjizat hanyalah bukti sampingan untuk mencapai kebenaran. Kenapakah begitu? Ini adalah kerana manusia perlu berusaha supaya fikirannya dapat berfungsi dengan waras dan baik. Seterusnya fikiran yang masak ranum itulah tempat singgahnya kebenaran. Ramai yang berpendapat bila umur dah meningkat 40 tahun bermakna fikiran dah cukup matang. Namun harus diingat otak bukanlah seperti buah-buahan yang mempunyai tempoh matang. Fikiran perlukan pengisian supaya ia betul-betul matang. Kalau matang bermakna sukar menerima pendapat yang baru, pendapat ini memang tepat.

Alangkah banyaknya umat-umat terdahulu yang selalu meminta itu dan ini dengan perkara-perkara atau kejadian yang tak masuk akal daripada para rasul. Tuhan akhirnya menunaikan permintaan mereka dengan syarat mereka beriman dan tidak melakukan kerosakan. Akibatnya mereka ditimpa bala`, azab dan sengsara kerana kedegilan mereka. Bala` di sini adalah merupakan hukuman Tuhan terhadap keingkaran dan kedegilan manusia untuk kembali ke pangkal jalan. Bukan sekadar cubaan yang difahami oleh kebanyakan kita. Dengan kata lain hukuman yang dijatuhkan semata-mata kerana kedurjanaan dan kefasikan manusia.

Bala` Tuhan terbahagi kepada tiga. Pertama yang datang dari langit berupa angin puting beliung, taufan, tornado dan sebagainya. Kita di Malaysia pernah mengalami ribut yang teramat kencang dalam sejarah di beberapa tempat. Ribut Greg sebagai contoh yang berlaku di Sabah merupakan ekor ribut sesat yang tidak lalu mengikut laluan biasa. Namun begitu ia membawa akibat yang dahsyat berupa kematian dan kerosakan.

Jenis bala` kedua adalah datangnya dari bawah kaki manusia iaitu berupa gempa bumi, tsunami, rekahan bumi, tanah runtuh dan gunung berapi. Ombak tsunami yang datang secara mengejut boleh mencapai kelajuan ratusan kilometer sejam. Manusia bagaikan sampah sarap ketika itu, sudah hilang segala keupayaan dan sirnalah segala kemegahan yang diagung-agungkan selama ini. Tsunami di Acheh mengajar kita betapa keingkaran manusia membelakangkan undang-undang Allah dan ingin menguatkuasakan undang-undang manusia. Malaysia juga telah menerima kesan tsunami tersebut dan telah menyaksikan ketidakadilan agihan bantuan terhadap mangsa-mangsa yang terlibat. Gerakan Acheh Merdeka telah memperjuangkan hak mereka sejak berkurun lamanya. Penjajah Belanda tidak lama dapat bertapak di sana dan selepas itu mereka dijajah oleh bangsa sendiri pula. Pejuang-pejuang Acheh percaya bahawa asal-usul mereka adalah pendaulat undang-undang Allah dan mereka yakin boleh berdikari lantaran tanah air mereka kaya dengan hasil bumi. Mereka tahu mereka akan dijadikan bahan mainan, diperbodohkan dan diperkotak-katikkan maruah dan nilai diri mereka. Bala` tsunami yang menimpa ke atas Acheh telah membunuh beribu-ribu askar kerajaan. Rakyat Acheh kini telah berjaya dalam perjuangan mereka dengan mendaulatkan undang-undang Allah dengan perjanjian autonomi 30% kepada pemerintah Indonesia. Walaupun memakan masa beratus tahun, perjuangan mereka tidak sia-sia di dunia apalagi di akhirat.

Jenis bala` ketiga pula ialah yang wujud sesama manusia di dalam masyarakat sama ada ia berbentuk kerosakan akhlak, gejala sosial, kenaikan harga barang yang melambung, keruntuhan nilai moral, pemimpin yang mementingkan diri sendiri dan kroni dan pelbagai masalah masyarakat.



Sebenarnya kemampuan akal sudah cukup untuk mengenal kebenaran dengan syarat tidak dikuasai hawa nafsu serta mengetepikan kepentingan-kepentingan yang lain. Umat nabi Musa telah ditimpa dengan bala` dan cubaan Tuhan berupa kutu, belalang, darah dan sebagainya. Setiap kali bala` bencana itu datang, meraka bertawasul dengan nabi Musa minta dihilangkan. Namun setiap kali bencana itu dihapuskan mereka kembali kepada kesesatan dan kemungkaran. Persoalannya kenapa sikap mereka begitu? Adakah hanya umat dahulu bersikap seperti itu dan manusia yang dikatakan moden tidak begitu? Sebenarnya memang sudah menjadi lumrah manusia bersikap begitu dan yang akan membezakannya hanyalah zaman masing-masing.

Melayu yang memeluk Islam secara keturunan, menerima agama itu mengikut proses penurunan baka. Mereka hanyalah mengenali agama mereka berdasarkan konsep serpihan. Agama mereka hanyalah anutan berdasarkan ikut-ikutan berdasarkan apa yang diamalkan oleh masyarakat. Bila mata, telinga dan akal mereka celik itulah yang mereka terima dan faham. Mereka tak lebih dari hamba keadaan dan terdiri dari mak turut dan pak turut. Tidak pernah terlintas di benak mereka adakah fahaman yang diterima sebenarnya yang dikehendaki oleh Al Quran dan As sunah. Tidak hairanlah jika mereka jauh dari ajarannya. Jika pun mereka membaca sekadar untuk tujuan ibadat semata-mata. Mereka tidak pernah ambil pusing untuk memahami dan mendalami apa yang sebenarnya dikehendaki oleh Tuhan. Mereka lebih minat membaca majalah-majalah picisan. Paling tinggi bacaan mereka hanyalah akhbar arus perdana. Itu pun agar sukar untuk membaca ruangan pengarang yang berunsur ilmiah dan agak berat.

Hakikatnya, menjadi lumrah manusia ini memang sukar berubah apabila sudah diprogramkan oleh ibu bapa, suasana persekitaran dan pembentukan minda sejak kecil. Perubahan minda memerlukan perubahan diri sementara perubahan diri bermula dari perubahan minda. Perubahan minda ini yang terlalu dan teramat sukar diubah. Jarang sekali manusia bersifat terbuka dalam serba-serbi masalah dan keadaan. Acap kali kebenaran ditutup dan dimomok-momok oleh pencinta-pencinta dunia dan penyokong-penyokong syaitan dalam rupa manusia. Jarang sekali orang yang sanggup mendengar sesuatu yang bertentangan dengan pegangan hidupnya. Banyak sekali yang terpikat dengan tarikan kebendaan sehingga dianggap penentu sama ada sesuatu pegangan itu betul atau tidak. Al Quran ada merakamkan betapa kekayaan sebagai ukuran untuk menentukan siapa yang patut memimpin. Bahkan fahaman kebendaan yang menebal telah menjadikan kebendaan sebagai tuhan berupa sembahan-sembahan yang dirupakan dalam bentuk gambar dan patung. Begitulah betapa dahsyatnya faham metarialistik ini sehingga mereka tidak akan beribadat jika Tuhan yang disembahkan tidak disergamkan di depan mata mereka.

Sebenarnya hakikat kebenaran itu hanya memerlukan ilmu dan akal tanpa dipengaruhi oleh unsur-unsur yang lain sama ada dalam bentuk kebendaan atau kepentingan puak dan pangkat. Jika akal dapat membebaskan diri dari semua itu dan dipandu oleh ilmu tentu matlamat itu akan dapat dicapai. Kebenaran dapat dicapai dengan mudah kerana ia tidak bersifat sukar dan berbelit. Hanya pembohongan dan penipuan yang perlu melalui jalan yang sukar dan berliku-liku.

No comments: