Monday, April 27, 2009

JADILAH ISTERI SOLEHAH

Di awal perkenalan memanglah lelaki yang selalu mulakan. Tapi bila dah bersuami isteri, sebagai isteri yang baik tidak seharusnya membiarkan suami memulakan segala-galanya. Suami bagaikan burung yang bebas berterbangan di angkasa lepas sedang isteri bagaikan denak di dalam sangkar yang perlu berusha menarik perhatian burung bebas tadi supaya pulang ke sarang. Faktor ini sebenarnya salah satu faktor kecil tapi akhirnya akan menjadi besar dan menyebabkan keruntuhan sebuah rumah tangga yang dibina. Namun sekarang ini, mungkin konsep ini sudah tIdak diterima oleh wanita-wanita yang menggelarkan diri mereka sebagai moden. Kalau begitu dengan erti kata yang lain, semuanya akan terbeban oleh pihak suami. Sudahlah dari segi kontrak kahwin, pihak lelaki telah diikat dengan bebanan zahir dan batin. Perlu menyediakan pelbagai kelengkapan kahwin dan wang ringgit. Masyarakat melayu moden sekarang sudah ada yang mengambil pinjaman untuk tujuan perkahwinan. Bermakna segala-galanya dunia sekarang adalah dunia hutang. Mula-mula hutang belajar, selepas itu hutang kahwin, lepas tu hutang rumah, hutang kereta dan cuba fikirkan bila semua hutang itu hendak dilangsaikan. Kalau nak dikirakan terlalu banyak bebanan lelaki sebagai suami sementara perempuan kurang dibebankan itupun boleh dipindahkan kepada suami. Itulah Keadilan perundangan Islam.

Keadilan bukan bermakna persamaan tapi meletakkan sesuatu ditempat yang patut. Perundangan Islam diasaskan kepada belas kasihan kepada wanita. Wanita hanyalah memerlukan satu perkara sahaja iaitu suami dan segala-galanya nanti akan didapati selepas itu daripada suami. Seorang wanita yang pintar tentu akan memilih calon suami yang mempunyai pakej yang lengkap samada dari segi mental dan materialnya. Namun kerapkali pakej itu tidak sempurna, mesti ada kekurangannya di sana-sini. Kalau begitu apa sebenarnya peranan perempuan. Mereka terikut-ikut arus perkembangan `western’ yang dianggap sebagai moden. Segala-galanya sudah terbeban kepada lelaki, namun mereka masih nak menambahkan bebanan tersebut. Terkadang-kadang tidak diketahui apa sebenarnya dituntut oleh mereka akibat kejahilan mereka tentang perundang dua dunia tersebut ( dunia dan akhirat). Mungkin wanita berhujah mereka juga menanggung bebanan yang besar. Tapi mereka perlu sedar bahawa itu sebenarnya bukan bebanan tapi merupakan amal jariah yang bersifat sukarela. Wanita yang membebankan diri mereka sendiri atau mungkin persepsi masyarakat yang silap. Namun yang paling silap bila mereka menyalahkan perundangan Illahi kerana masyarakat kini telah berkecamuk dengan nilai-nilai barat yang sesat dan sudah sebati dengan diri mereka. Mereka sepatutnya memahami dengan penuh keikhlasan dan kesedaran berhubung perundangan Allah.

No comments: