Monday, April 27, 2009

JADILAH ISTERI SOLEHAH

Di awal perkenalan memanglah lelaki yang selalu mulakan. Tapi bila dah bersuami isteri, sebagai isteri yang baik tidak seharusnya membiarkan suami memulakan segala-galanya. Suami bagaikan burung yang bebas berterbangan di angkasa lepas sedang isteri bagaikan denak di dalam sangkar yang perlu berusha menarik perhatian burung bebas tadi supaya pulang ke sarang. Faktor ini sebenarnya salah satu faktor kecil tapi akhirnya akan menjadi besar dan menyebabkan keruntuhan sebuah rumah tangga yang dibina. Namun sekarang ini, mungkin konsep ini sudah tIdak diterima oleh wanita-wanita yang menggelarkan diri mereka sebagai moden. Kalau begitu dengan erti kata yang lain, semuanya akan terbeban oleh pihak suami. Sudahlah dari segi kontrak kahwin, pihak lelaki telah diikat dengan bebanan zahir dan batin. Perlu menyediakan pelbagai kelengkapan kahwin dan wang ringgit. Masyarakat melayu moden sekarang sudah ada yang mengambil pinjaman untuk tujuan perkahwinan. Bermakna segala-galanya dunia sekarang adalah dunia hutang. Mula-mula hutang belajar, selepas itu hutang kahwin, lepas tu hutang rumah, hutang kereta dan cuba fikirkan bila semua hutang itu hendak dilangsaikan. Kalau nak dikirakan terlalu banyak bebanan lelaki sebagai suami sementara perempuan kurang dibebankan itupun boleh dipindahkan kepada suami. Itulah Keadilan perundangan Islam.

Keadilan bukan bermakna persamaan tapi meletakkan sesuatu ditempat yang patut. Perundangan Islam diasaskan kepada belas kasihan kepada wanita. Wanita hanyalah memerlukan satu perkara sahaja iaitu suami dan segala-galanya nanti akan didapati selepas itu daripada suami. Seorang wanita yang pintar tentu akan memilih calon suami yang mempunyai pakej yang lengkap samada dari segi mental dan materialnya. Namun kerapkali pakej itu tidak sempurna, mesti ada kekurangannya di sana-sini. Kalau begitu apa sebenarnya peranan perempuan. Mereka terikut-ikut arus perkembangan `western’ yang dianggap sebagai moden. Segala-galanya sudah terbeban kepada lelaki, namun mereka masih nak menambahkan bebanan tersebut. Terkadang-kadang tidak diketahui apa sebenarnya dituntut oleh mereka akibat kejahilan mereka tentang perundang dua dunia tersebut ( dunia dan akhirat). Mungkin wanita berhujah mereka juga menanggung bebanan yang besar. Tapi mereka perlu sedar bahawa itu sebenarnya bukan bebanan tapi merupakan amal jariah yang bersifat sukarela. Wanita yang membebankan diri mereka sendiri atau mungkin persepsi masyarakat yang silap. Namun yang paling silap bila mereka menyalahkan perundangan Illahi kerana masyarakat kini telah berkecamuk dengan nilai-nilai barat yang sesat dan sudah sebati dengan diri mereka. Mereka sepatutnya memahami dengan penuh keikhlasan dan kesedaran berhubung perundangan Allah.

Sunday, April 26, 2009

BETAPA DEGILNYA MANUSIA INI

Beberapa kurun yang lepas, lahirlah seorang utusan Allah bernama Musa. Lahirnya dalam keadaan sukar di saat-saat pemerintah pada masa itu mengeluarkan arahan supaya dibunuh setiap bayi lelaki yang dilahirkan lantaran terlampau percaya kepada ramalan ahli nujum. Baginda Musa dipelihara dan dibesarkan di istana Firaun sendiri. Bila dewasa dianggap musuh oleh Firaun dan terpaksa melarikan diri ke Madyan dan di sana telah berjumpa dan berguru dengan nabi Syuib, selepas itu menjadi menantu baginda dengan mas kahwin bekerja selama 8 tahun tapi nabi Musa telah menyempurnakan dengan melengkapkan selama 10 tahun. Selepas itu baginda mengembara pulang ke Mesir. Dalam perjalanan tersebut Musa telah mendapat wahyu sebagai rasul. Tongkat yang dibawa bersama dikatakan pemberian Nabi Syuib.

Jika diperhatikan pada rasul dan anbiya` yang disebut dalam AlQuran semuanya berhadapan dengan pemuka-pemuka, pembesar-pembesar dan raja-raja pada zaman masing-masing. Sebagai contoh Nabi Ibrahim berhadapan dengan Namrud, Nabi Musa dengan Firaun dan Nabi Muhammad dengan Abu Jahal dan Abu Lahab sebagai Perdana Menteri Makkah pada masa itu. Mengapa begitu?.. Ini adalah kerana memang sifatnya kebenaran itu seperti air sungai yang terus mengalir tanpa henti. Sudah lumrahnya kebenaran itu mempunyai bukti dan hujah yang kuat yang tidak dapat dan tidak mungkin disangkal. Arusnya berterusan dan sentiasa menerima kekuatan baru. Apabila sudah cukup kuat ia akan melanda apa sahaja halangan di hadapannya. Ia bersifat lembut, namun tidak selama-lamanya ia akan berlembut. Apabila berkuasa ia akan menyuburkan tanah yang mati dan gersang selama ini. Ia akan menghilangkan dahaga setiap yang kebuluran. Ia tidak akan membiarkan kekeringan dan kegersangan terus menerus. Begitulah sifatnya kebenaran itu, tidak akan membiarkan kesesatan, penyalahgunaan kuasa dan kebejatan sosial berterusan selamanya. Ia akan menolak segala kezaliman dan kediktatoran yang menguasai alam. Apabila cahaya kebenaran itu dibiarkan malap lama-kelamaan kegelapan kedurjanaan akan menguasai alam. Ketika inilah gelap kesesatan akan bermaharajalela dengan berbagai-bagai masalah politik, ekonomi dan sosial. Manusia-manusia duniawi tidak akan faham kenapa pelbagai jenayah dan penyakit sosial berlaku. Dulu mereka tak pernah mendengarnya. Tapi akhir-akhir ini suasana aman dan sentosa telah bertukar menjadi ketakutan dan kegerunan di negara kita. Nabi Muhammad telah berjaya menukarkan suasana yang buruk dan ketakutan menjadi aman dan sentosa dengan mengislam negara Madinah dan Makkah. Di bawah pemerintahan Islam, seorang wanita boleh berjalan seorang diri dari Yaman ke Hadramaut tanpa ada langsung rasa takut dan bimbang.

Kalau dulu kita tak pernah mendengar kes-kes jenayah berat seperti ragut, pecah rumah, bunuh dan sebagainya. Angka-angka yang menunjukkan kepada peningkatan penyakit-penyakit sosial begitu menakutkan. Berjuta penagih dadah, peningkatan ketara penghidap AIDS begitu menggerunkan. Kalau dulu kita mendengar dari negara luar tentang penghidap AIDS dan semua orang rasa kecut perut. Tiba-tiba kita mendengar kes pertama di negara kita, kita semua gempar dan terkejut. Namun sekarang kes-kes AIDS telah menjadi lumrah dan tidak sehebat dulu lagi. Bahkan kita pernah mendengar kisah pengantin AIDS dan seumpamanya. Rupa-rupanya sesuatu perkara dianggap luar biasa dan pelik jika berlaku di tempat orang tetapi dianggap biasa dan lumrah jika perkara yang sama berlaku di tempat kita sendiri. Di anggap ganjil dan aneh kalau kuantitinya sedikit tapi dianggap lumrah jika sudah berlipat kali ganda angkanya. Kita bersikap cepat berpuas hati atas sudah lumrah alasan negara maju dan membangun adalah selaras dengan peningkatan kes-kes seperti itu. Adakah betul begitu?. Adakah betul kemajuan dan pembangunan itu semestinya seiringan dengan peningkatan jenayah dan penyakit-penyakit sosial. Kalau begitu kita maju dengan mengorbankan maruah bangsa dan agama. Adakah pembangunan dan kemajuan itu bererti kerosakan dan kemusnahan masyarakat?.. Kita sering mendengar orang politik beretorik berkorban untuk kemajuan negara. Adakah kita perlu mengorbankan keamanan dan kesejahteraan masyarakat semata-mata demi melihat bangunan-bangunan terpacak sekeliling kita?. Kenapa kita membandingkan dengan negara-negara maju seperti Jepun umpamanya, mereka mempunyai sikap yang positif dalam bekerja dan mereka percaya penyakit sosial akan meruntuhkan kemajuan kebendaan yang mereka kecapi. Cuba lihat negara Singapura pula, mereka terlalu berhati-hati untuk meluluskan pusat perjudian umpamanya. Hanya baru-baru ini sahaja Perdana Menteri mereka meluluskannya itu pun setelah sekian lama Malaysia mempunyai pusat perjudian di Genting Highland. Lee Kwan Yu amat berhati-hati dengan gejala sosial sehingga beliau tidak pernah meluluskannya semasa beliau memegang jawatan Perdana Menteri.

Apabila Nabi Musa menunjukkan mukjizatnya kepada Firaun, lantas Firaun mencabar Nabi Musa dengan menunjukkan kelebihan tersebut di hadapan khalayak ramai. Firaun menganggap keistimewaan Musa tak lebih dari berupa sihir semata-mata dan yakin pakar-pakar di zamannya tentu dapat menandinginya. Sememangnya zaman firaun adalah kemuncak dalam era kepintaran dan kelebihan ilmu sihir. Oleh itu dengan kebijaksanaan Allah Yang Maha Berkuasa, telah mengurniakan mukjizat tongkat tesebut semata-mata untuk menundukkan sihir. Masyarakat Mesir memang memuja dan mengagung-agungkan sihir sehingga pakar-pakar sihir boleh mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Firaun.

Firaun dalam pemerintahannya masih bercirikan demokrasi. Dia hanyalah zalim kepada Bani Israel kerana politiknya berwarnakan nasionalis dan tetap mendaulatkan bangsa Qibti. Firaun dengan keterbukaan politiknya tanpa rasa teragak-agak mempertontonkan pertandingan itu untuk tatapan rakyat jelata. Arahannya untuk membunuh bayi-bayi lelaki semata-mata takut takhtanya dirampas. Begitu juga keadaan kita sekarang. Sudah resam orang politik, tiada apa yang perlu ditakutnya. Mereka tidak risau ekonomi merudum kerana pinjaman dan bon luar negara boleh dibuat. Nanti rakyat yang akan menjelaskannya atas nama kemajuan negara. Lagipun bukan bayaran langsung tapi melalui kenaikan cukai, tarif bil dan harga barangan. Rakyat marhain yang kebanyakannya bodoh dari sudut politik tentu mudah menerima alasan yang remeh temeh. Orang politik juga tidak takutkan kuasa undang-undang kerana dia berada lebih di atas dari undang-undang. Tiada apa pun yang perlu ditakuti dan digeruni. Dia juga sebenarnya tidak takutkan Allah kerana Tuhan baginya hanyalah istilah simbolik kekuasanannya. Dia pun tetap liat untuk mendaulatkan undang-undang Allah. Hakikatnya dialah Tuhan lantaran segala-galanya ditentukan olehnya. Baginya kuasa Allah hanyalah menjadikan langit dan bumi tapi membiarkan ia ditadbirkan oleh Tuhan bumi berupa manusia sepertinya. Hanya yang ditakutinya adalah kesedaran rakyat secara menyeluruh. Itulah sebabnya diadakan pelbagai sekatan dan undang-undang untuk menakutkan rakyat supaya tidak bangkit menentang kekuasaannya.

Nabi Musa mengajak kepada kebenaran secara bersemuka dengan Firaun memandangkan Firaun adalah raja yang merupakan penghalang terbesar rakyatnya mendapatkan laluan kepada pemikiran yang waras dan akhirnya menerima kebenaran. Al Quran mengisahkan gaya pimpinan Firaun dengan meringan-ringankan dan memperbodohkan pemikiran rakyatnya. Allah menempelak dengan sinis sekali polisi Firaun yang tidak waras itu. Walaupun pakar-pakar sihir yang profesional telah dapat dikalahkan oleh Musa namun Firaun dan para pengikutnya masih tidak mahu mengakui kelebihan mukjizat itu sebagai bukti dari Tuhan. Firaun masih mempercayai bahawa itu semua adalah mainan sihir Musa dan menuduhnya sebagai mahaguru sihir. Rupa-rupanya akal fikiran manusia sememangnya dangkal untuk membezakan antara sihir dan mukjizat. Mukjizat hanyalah bukti sampingan untuk mencapai kebenaran. Kenapakah begitu? Ini adalah kerana manusia perlu berusaha supaya fikirannya dapat berfungsi dengan waras dan baik. Seterusnya fikiran yang masak ranum itulah tempat singgahnya kebenaran. Ramai yang berpendapat bila umur dah meningkat 40 tahun bermakna fikiran dah cukup matang. Namun harus diingat otak bukanlah seperti buah-buahan yang mempunyai tempoh matang. Fikiran perlukan pengisian supaya ia betul-betul matang. Kalau matang bermakna sukar menerima pendapat yang baru, pendapat ini memang tepat.

Alangkah banyaknya umat-umat terdahulu yang selalu meminta itu dan ini dengan perkara-perkara atau kejadian yang tak masuk akal daripada para rasul. Tuhan akhirnya menunaikan permintaan mereka dengan syarat mereka beriman dan tidak melakukan kerosakan. Akibatnya mereka ditimpa bala`, azab dan sengsara kerana kedegilan mereka. Bala` di sini adalah merupakan hukuman Tuhan terhadap keingkaran dan kedegilan manusia untuk kembali ke pangkal jalan. Bukan sekadar cubaan yang difahami oleh kebanyakan kita. Dengan kata lain hukuman yang dijatuhkan semata-mata kerana kedurjanaan dan kefasikan manusia.

Bala` Tuhan terbahagi kepada tiga. Pertama yang datang dari langit berupa angin puting beliung, taufan, tornado dan sebagainya. Kita di Malaysia pernah mengalami ribut yang teramat kencang dalam sejarah di beberapa tempat. Ribut Greg sebagai contoh yang berlaku di Sabah merupakan ekor ribut sesat yang tidak lalu mengikut laluan biasa. Namun begitu ia membawa akibat yang dahsyat berupa kematian dan kerosakan.

Jenis bala` kedua adalah datangnya dari bawah kaki manusia iaitu berupa gempa bumi, tsunami, rekahan bumi, tanah runtuh dan gunung berapi. Ombak tsunami yang datang secara mengejut boleh mencapai kelajuan ratusan kilometer sejam. Manusia bagaikan sampah sarap ketika itu, sudah hilang segala keupayaan dan sirnalah segala kemegahan yang diagung-agungkan selama ini. Tsunami di Acheh mengajar kita betapa keingkaran manusia membelakangkan undang-undang Allah dan ingin menguatkuasakan undang-undang manusia. Malaysia juga telah menerima kesan tsunami tersebut dan telah menyaksikan ketidakadilan agihan bantuan terhadap mangsa-mangsa yang terlibat. Gerakan Acheh Merdeka telah memperjuangkan hak mereka sejak berkurun lamanya. Penjajah Belanda tidak lama dapat bertapak di sana dan selepas itu mereka dijajah oleh bangsa sendiri pula. Pejuang-pejuang Acheh percaya bahawa asal-usul mereka adalah pendaulat undang-undang Allah dan mereka yakin boleh berdikari lantaran tanah air mereka kaya dengan hasil bumi. Mereka tahu mereka akan dijadikan bahan mainan, diperbodohkan dan diperkotak-katikkan maruah dan nilai diri mereka. Bala` tsunami yang menimpa ke atas Acheh telah membunuh beribu-ribu askar kerajaan. Rakyat Acheh kini telah berjaya dalam perjuangan mereka dengan mendaulatkan undang-undang Allah dengan perjanjian autonomi 30% kepada pemerintah Indonesia. Walaupun memakan masa beratus tahun, perjuangan mereka tidak sia-sia di dunia apalagi di akhirat.

Jenis bala` ketiga pula ialah yang wujud sesama manusia di dalam masyarakat sama ada ia berbentuk kerosakan akhlak, gejala sosial, kenaikan harga barang yang melambung, keruntuhan nilai moral, pemimpin yang mementingkan diri sendiri dan kroni dan pelbagai masalah masyarakat.



Sebenarnya kemampuan akal sudah cukup untuk mengenal kebenaran dengan syarat tidak dikuasai hawa nafsu serta mengetepikan kepentingan-kepentingan yang lain. Umat nabi Musa telah ditimpa dengan bala` dan cubaan Tuhan berupa kutu, belalang, darah dan sebagainya. Setiap kali bala` bencana itu datang, meraka bertawasul dengan nabi Musa minta dihilangkan. Namun setiap kali bencana itu dihapuskan mereka kembali kepada kesesatan dan kemungkaran. Persoalannya kenapa sikap mereka begitu? Adakah hanya umat dahulu bersikap seperti itu dan manusia yang dikatakan moden tidak begitu? Sebenarnya memang sudah menjadi lumrah manusia bersikap begitu dan yang akan membezakannya hanyalah zaman masing-masing.

Melayu yang memeluk Islam secara keturunan, menerima agama itu mengikut proses penurunan baka. Mereka hanyalah mengenali agama mereka berdasarkan konsep serpihan. Agama mereka hanyalah anutan berdasarkan ikut-ikutan berdasarkan apa yang diamalkan oleh masyarakat. Bila mata, telinga dan akal mereka celik itulah yang mereka terima dan faham. Mereka tak lebih dari hamba keadaan dan terdiri dari mak turut dan pak turut. Tidak pernah terlintas di benak mereka adakah fahaman yang diterima sebenarnya yang dikehendaki oleh Al Quran dan As sunah. Tidak hairanlah jika mereka jauh dari ajarannya. Jika pun mereka membaca sekadar untuk tujuan ibadat semata-mata. Mereka tidak pernah ambil pusing untuk memahami dan mendalami apa yang sebenarnya dikehendaki oleh Tuhan. Mereka lebih minat membaca majalah-majalah picisan. Paling tinggi bacaan mereka hanyalah akhbar arus perdana. Itu pun agar sukar untuk membaca ruangan pengarang yang berunsur ilmiah dan agak berat.

Hakikatnya, menjadi lumrah manusia ini memang sukar berubah apabila sudah diprogramkan oleh ibu bapa, suasana persekitaran dan pembentukan minda sejak kecil. Perubahan minda memerlukan perubahan diri sementara perubahan diri bermula dari perubahan minda. Perubahan minda ini yang terlalu dan teramat sukar diubah. Jarang sekali manusia bersifat terbuka dalam serba-serbi masalah dan keadaan. Acap kali kebenaran ditutup dan dimomok-momok oleh pencinta-pencinta dunia dan penyokong-penyokong syaitan dalam rupa manusia. Jarang sekali orang yang sanggup mendengar sesuatu yang bertentangan dengan pegangan hidupnya. Banyak sekali yang terpikat dengan tarikan kebendaan sehingga dianggap penentu sama ada sesuatu pegangan itu betul atau tidak. Al Quran ada merakamkan betapa kekayaan sebagai ukuran untuk menentukan siapa yang patut memimpin. Bahkan fahaman kebendaan yang menebal telah menjadikan kebendaan sebagai tuhan berupa sembahan-sembahan yang dirupakan dalam bentuk gambar dan patung. Begitulah betapa dahsyatnya faham metarialistik ini sehingga mereka tidak akan beribadat jika Tuhan yang disembahkan tidak disergamkan di depan mata mereka.

Sebenarnya hakikat kebenaran itu hanya memerlukan ilmu dan akal tanpa dipengaruhi oleh unsur-unsur yang lain sama ada dalam bentuk kebendaan atau kepentingan puak dan pangkat. Jika akal dapat membebaskan diri dari semua itu dan dipandu oleh ilmu tentu matlamat itu akan dapat dicapai. Kebenaran dapat dicapai dengan mudah kerana ia tidak bersifat sukar dan berbelit. Hanya pembohongan dan penipuan yang perlu melalui jalan yang sukar dan berliku-liku.

KENAPA ISLAM HARAMKAN SEKS MELALUI DUBUR

Dubur mempunyai struktur anatomi yang berbeza dengan faraj. Otot dubur yang terletak pada bukaannya mengawal pengeluaran najis, ia bersifat kenyal dan lazimnya mengalami trauma dengan hubungan seks.

Luka berbentuk rekahan ( fissure ) boleh terbentuk dan menyebabkan kesakitan. Pemeriksaan doctor dapat mengesan keadaan ini.

Lama kelamaan, kawasan kulit sekitar dubur juga menunjukkan perubahan warna menjadi lebam malah seseorang itu juga boleh mengalami kesukaran mengawal aktiviti membuang air besar untuk sementara waktu.

Ia juga mendedahkan kemaluan suami kepada jangkitan kuman yang banyak terdapat di dalam dubur seseorang. Malah luka rekahan itu juga mendedahkan anda kepada jangkitan kuman ke dalam darah.

Ini berlainan dengan faraj, sepertiga bahagian penghujungnya mempunyai otot yang juga boleh mencengkam dan lebih membuka.

Dua pertiga bahagian awalnya pula tidak mempunyai otot dan tidak mencengkam kuat, ia juga membuka kepada kemasukan kemaluan suami.

RAHSIA SOLAT LIMA WAKTU

Otak kita sebagai sebuah mesin sentiasa sahaja bekerja tidak mengira waktu dan tempat. Sehinggakan kadang-kadang terbawa-bawa dalam mimpi. Rehatnya otak ialah dengan memalingkan minda dari kesibukan dan simpang siur pemikiran yang tidak berkesudahan. Minda manusia walau bagaimanapun hebatnya tidak terlepas dari pengaruh nafsu yang sentiasa mendorongnya untuk tidak berpuashati dengan apa yang ada di tangannya. Semakin dikejar dunia itu semakin kuat pecutannya dan sudah tentu tidak terkejar. Kejar-mengejar ini pada fizikalnya tidak salah pada dasarnya dalam mana-mana institusi dan aliran pemikiran yang matang, Cuma yang salah ialah ia sampai menggangu dan menghantui pemikiran. Jika fenomena ini dibiarkan kelak ia akan terjerumus ke lembah kebinasaan dan kehinaan. Lambat laun ia akan menjadi satu pegangan dan fahaman yang teramat-amat sukar untuk dirungkaikan sebagai satu fahaman kebendaan dan meterialistik serta akhirnya berakar-umbi. Faham meterialistik ini tidak habis di situ sahaja, ia akan terus menular dan membarah dan menghasilkan bermacam-macam simpton yang tidak berkesudahan, kronik dan hanya kesudahannya tidak dapat diubat lagi, hanya menunggu saat-saat nazaknya sahaja.

Kesibukan kejar-mengejar tadi menyebabkan fikiran tidak keruan dan tekanan fikiran yang meningkat. Maklumlah selalunya yang dikejar tak dapat dan yang dikendong berciciran. Fikiran kini telah bercabang, menoleh ke belakang dan meneropong ke hadapan. Lumrahnya manusia akan mencari pengubat untuk cuba menghilangkan atau sekurang-kurangnya meredakan tekanan dan stress tersebut. Selalunya, mereka sekurang-kurangnya akan memilih untuk berhibur, barangkali jika tidak melupakan terus biarlah dapat melupakan barang seketika. Masyarakat Jepun umpamanya, mereka terkenal dengan sikap rajin berusaha dan progresifnya, tapi sebagai insan biasa tidak dapat lari dari gejala ini. Mereka kuat bekerja tapi sebaliknya mereka kuat juga berhibur. Masyarakat Barat pula kurang bekerja tapi banyak berhibur. Hiburan ni pula macam-macam kategorinya ada bentuk jamu mata, jamu telinga, jamu tangan jamu perut, dan semuanya sekali jamu pun ada. Jika inipun tidak berapa berkesan mereka akan cuba hilangkan fikiran waras mereka, dengan arak, dengan macam-macam jenis dadah. Bab hiburan ini sebenarnya luas dan perlukan ruangan yang khusus, termasuk bermacam-macam jenis arak dan dadahnya. Baru-baru ni dijumpai makmal memproses dadah di Rawang bertaraf international dan global, memang hebat Malaysia kita ni, tak main ‘local-local’.

Solat juga mempunyai kelebihan dari sudut fizikal dan jasmani. Senaman itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu meregangkan otot dan kecergasan. Regangan otot berlaku ketika melakukan aktiviti-aktiviti sembahyang seperti ruku’ dan duduk antara dua sujud. Umat Islam digalakkan untuk menunaikan solat berjemaah di tempat azan diazankan. Senaman terbaik ialah berjalan kaki dan sesuai dilakukan oleh segenap peringkat umur, lagi jauh berjalan sebenarnya lagi baik. Bayangkan jika kita melakukan senaman berjalan kaki sebanyak lima kali sehari tentunya kita mendapat senaman yang cukup dan dibuktikan oleh pakar perubatan bahawa hanya dengan setengah jam sehari berjalan dapat mengurangkan atau menghindarkan penyakit-penyakit seperti kencing manis. Amalan bersujud pula lebih kepada melancarkan perjalanan darah, kerana itu ada kebaikan jika bersujud lebih lama sedikit sekurang-kurangnya selama tiga kali membaca tasbih. Ada saraf-saraf tertentu di dalam otak yang tersangat halus tidak menerima peredaran darah melainkan dengan melakukan pergerakan seperti sujud. Seorang saintis telah masuk Islam hanya kerana menemui fakta yang seni ini. Tidak hairanlah jika orang yang tidak melakukan sujud tidak mempunyai minda yang cergas dan tidak dapat menghasilkan penilaian-penilaian seni terutama dalam hidup bermasyarakat.

Orang bukan Islam sering bertanya kenapakah sembahyang itu mempunyai banyak pergerakan. Selain sembahyang itu merupakan senaman ia juga memberikan ruang kepada minda untuk bergerak cergas aktif. Cara otak bekerja berkait rapat dengan pergerakan anggota badan yang lain. Kita tidak sayogianya memerah otak dengan memaksa ia bekerja terutama dalam menghasilkan sesuatu ilham atau penemuan yang baru. Apa yang penting ialah sediakan sebatang pen dan buku kecil. Sebaik sahaja ilham tercetus, pen yang berada ditangan terus menulis apakah penemuan baru itu. Seorang yang cergas fizikal, akan cergas jugalah mindanya, begitulah sebaliknya. Seorang yang lambat pergerakannya juga lambat capaian mindanya. Perhatikan kunang-kunang, cahaya hanya dikeluarkan hanya apabila ia terbang. Cahaya itu adalah kecergesan minda dan pergerakan itulah pergerakan yang banyak dalam sembahyang. Contoh yang lain, kenapa pelajar Cina lebih pintar dari pelajar melayu, kita dapat perhatikan sistem pembelajaran mereka ialah guru memberikan banyak latihan-latihan di rumah dan terpaksa mereka siapkan dalam tempoh yang singkat. Latihan-latihan yang banyak itu menjadikan mereka cekap dan cepat dan akhirnya menjadikan fikiran mereka juga cepat berfikir. Tidak syak lagi kecergesan minda adalah sering sinonim dengan pergerakan badan.

Solat juga mempunyai maksud dari segi menjaga waktu dan kesihatan, dengan erti kata yang lain, menjaga sembahyang bermakna kita menjaga waktu dan kesihatan. Seorang yang sihat tentu memulakan waktu hariannya dengan bangun dari tidur seawal mjungkin. Hidup adalah perlumbaan. Barangsiapa yang mermulakan perlumbaan yang paling awal bermakna dia adalah seorang johan. Hari bermula dengan terbitnya fajar dan sebelum memulakan kerja harian, kekuatan azam dan semangat baru perlu disegar bugarkan supaya hari ini lebih baik dari hari semalam. Solat Subuh adalah solat yang paling ringkas dan mengaktifkan kembali tenaga dalaman itu. Setelah minda dan fizikal dikerahkan semampu mungkin, maka tibalah masanya untuk berehat di pertengahan hari dengan memalingkan minda dari ketegangan otak dan otot berupa solat zohor. Mengerjakan solat bukanlah sesuatu yang membebankan kerana ia boleh dikerjakan pada waktu yang luas dan di mana-mana sahaja dengan hanya mencelah pada waktu-waktu yang sesuai. Dari segi penggunaan bahasa bagi waktu-waktu harian, Bahasa Ingeris dilihat lebih kemas dari bahasa Malaysia kerana ia mempunyai lima waktu iaitu morning, noon, afternoon, evening dan night dan penggunaan waktu-waktu begini amat sesuai untuk solat-solat yang lima waktu. Sebelum kita mengucapkan selamat kepada sesama insan, kita terlebih dahulu perlu menyatakan kesyukuran kita kepada Pencipta yang telah memanjangkan lagi umur kita kepada waktu-waktu tersebut secara mengerjakan solat. Dari sudut kesihatan pula, kesihatan badan bermula dengan kesihatan perut. Kesihatan perut pula bermula dengan kesihatan gigi. Menggosok gigi terlalu digalakkan kepada umat Islam terutama sebelum mengerjakan solat. Kita diajar oleh pakar kesihatan supaya menggosok gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari. Tapi kita diajar oleh Nabi supaya menggosok gigi sekurang-kurangnya lima kali sehari. Muslim yang benar-benar menjaga tertib sembahyang tentunya mempunyai kesihatan yang betul-betul jitu dan tentunya berjaya dalam hidup kerana berdisiplin dalam menjaga waktunya.

Untungnya menjadi seorang muslim ialah ia mendapat ucapan salam sejahtera dari sahabat semuslim yang lain sekurang-kurangnya 10 kali sehari semalam. Katakan anggaran kasar umat Islam seluruh dunia berjumlah ialah 1 billion. Jika 5 kali sehari semalam ia bermakna 10 billion sehari seorang muslim mendapat salam dari sahabat-sahabatnya seluruh dunia belum dikira ucapan salam dari para malaikat, jin muslim, binatang-binatang lain dan sebagainya. Bila seorang muslim memberi salam, bermakna ia memberi salam kepada seluruh sahabat-sahabatnya lain yang muslim seluruh dunia. Bagaimana perkara ini boleh berlaku, tidakkah dunia ini berbentuk sfera, apabila seorang muslim memberi salam ke kanan, bermakna salamnya berpusing mengikut bentuk bumi yang sfera itu dan salamnya sampai kepada seluruh sahabatnya seluruh dunia, begitu juga bila ia memberi salam ke kiri. Oleh itu sembahyang juga merupakan nilai kemasyarakatan dan kesejahteraan sesama muslim. Dalam dunia globalisasi seperti sekarang tidak sepatutnya kita hanya memikirkan diri sendiri sahaja, bahkan kita perlu fikirkan nasib keluarga kita yang lain, jiran kita, negeri kita, negara kita dan akhirnya dunia kita, adakah kita semuanya berada dalam selamat dan sejahtera seperti kita. Jika tidak adakah kita merasa risau terhadap kesejahteraan mereka, jika kita merasa risau, apakah tindakan yang kita lakukan. Iringilah dengan doa sebagai ikhtiar yang paling minima jika tidak dapat melegakan kepahitan dan kedhaifan hidup mereka berupa jihad nyawa atau jihad harta.

Tuesday, April 14, 2009

MENGAPA NABI MUHAMMAD S.A.W MEMILIH KEMISKINAN

Di antara ciri yang perlu dimiliki oleh seorang pemimpin ialah fananya kepentingan diri dan melebihkan orang lain dari diri sendiri bahkan kepentingan keluarga juga diletakkan dibelakang jika bertembung dengan kepentingan rakyat. Kita sering dihebahkan dengan kisah Umar Abdul Aziz apabila memadamkan lampu rakyat bila tetamu menukar tajuk perbualan kepada tajuk peribadi. Inilah sifat kemestian yang mesti dimiliki oleh seseorang dilantik menjadi pemimpin.

Kita semua tahu Nabi Muhammad bukan sahaja sebagai rasul bahkan sebagai ketua keluarga, ketua negera, pemimpin perang dan pengasas Islam yang antarabangsa yang teruskan perjuangan oleh para sahabat r.a. Ketika baginda wafat tiada harta yang ditinggalkan beliau. Ringkas kata baginda tidak meninggalkan ruang untuk dikritik oleh pihak musuh. Baginda memerintahkan anak angkat beliau untuk mengetuai peperangan sebagai bayangan maut. Pernah anak beliau Fatimah r.a mengadu kesukaran dalam dalam menguruskan rumah tangga namun Rasullah s.a.w lebih suka membiarkan anak baginda dalam keadaan itu tanpa memberikan pembantu rumah. Baginda pernah memiliki isteri seperti khadijah r.a yang kaya raya tapi wafat dalam kemiskinan dengan berkorban demi menegakkan Islam. Isteri baginda juga ramai yang janda demi menolong golongan itu. Kesemua perkahwinan baginda adalah untuk tujuan dakwah.

Ternyata kemiskinan Rasullulah s.a.w bukan kerana tidak berusaha untuk kehidupan. Baginda adalah seorang hartawan tapi memiskinkan diri untuk tujuan mujahadah supaya Islam menjadi agama yang terkedepan berbanding agama lain. Inilah sebabnya sahabat besar baginda Abu Bakar As siddiq sanggup menghabiskan harta beliau untuk infaq pada fisabilillah. Jika tiada contoh dari Rasulullah s.a.w tentu beliau tidak sanggup melakukan perkara seumpama itu. Bila kita ajukan perkara ini kepada orang zaman sekarang tentu mereka anggap perkara itu adalah bodoh. Wal hal banyak orang sekarang yang jadi bodoh ditipu peniaga skim cepat kaya dan mengeluarkan simpanan hari tuanya.

Monday, April 13, 2009

PENGGUNAAN BAHAN DARI KHINZIR DALAM INDUSTRI PEMAKANAN

Hari ini kita hidup dalam masyarakat dunia berlumba-lumba untuk mengejar kekayaan secara cepat dan penggunaan modal sekecil mungkin. Tidak dapat tidak mereka akan menggunakan sumber yang mudah dan murah diperolehi. Agaknya kelebihan khizir dari binatang lain ialah ia senang diternak dan cepat membiak. Tidak cerewet dalam memilih makanan dan sanggup memakan apa sahaja jenis makanan. Apalagi jika bahan-bahan makanan terbuang dan busuk masih boleh dikitar semula oleh haiwan ini. Sifatnya yang tahan lasak kepada bakteria, kuman, cacing, hama dan sebagainya menjadikan ia pilihan kepada penternak di seluruh dunia yang tentunya bukan beragama Islam. Kalau tak silap penulis, sejarah babi bermula untuk membersihkan kapal nabi Nuh a.s ketika disabatoj beramai-ramai oleh umatnya pada masa itu dengan membuang najis di situ.

Di zaman teknologi seperti sekarang, bahan mentah dari babi telah diubahsuai dalam bentuk yang lain dengan cara diproses dan nama bahan tersebut juga telah ditukar. Oleh kerana kebanyakan muslim sekarang adalah pengguna dan pengilang makanan adalah bukan Islam maka masalah ini menjadi isu yang tidak kunjung padam dalam masyarakat Islam. Keistimewaan pada babi ialah seluruh badannya boleh dimanfaatkan. Kulitnya yang nipis kurang ekonomi untuk dijadikan bahan pakaian dan peralatan lain berbanding kulit binatang lain. Oleh kerana industri pemakanan sekarang memerlukan bahan yang boleh menjadikan makanan tersebut diproses supaya lebih tahan lama dan boleh mengekalkan bentuk selepas proses masakan. Maka bahan yang murah dan banyak tentulah diambil dari bahan khinzir ini yang diutamakan.
Makanan proses yang dianggap halal sebenarnya masih boleh dipertikai kerana kejahilan umat Islam dan kurangnya keperihatinan berhubung isu ini. Bahan-bahan dari binatang-binatang yang halal dimakan tapi tidak disembelih mengikut cara Islam juga satu isu yang besar. Ini belum dikira sokongan kewangan kepada institusi Yahudi yang akhirnya menggunakan dana itu untuk membunuh umat Islam. Yahudi telah berjaya menubuhkan negara mereka di Israel tentunya mempunyai pelbagai rangkaian perniagaan seluruh dunia untuk mengaut keuntungan. Kepekaan umat Islam perlu dipertingkatkan supaya isu-isu begini tidak terus menerus menghantui umat Islam. Walaupun ada pendapat yang cuba menggunakan agama untuk mengurangkan kebimbangan namun sampai bila kita harus berada dalam keraguan.