Tuesday, December 30, 2008

CINTA ITU TIDAK BUTA

"Kalau sudah jodoh tidak ke mana". Itulah kata-kata yang sering kedengaran dari lidah orang melayu. Tapi kenapa hanya dalam soal jodoh, kenapa tidak pada yang lain seperti rezki umpamanyanya. Mungkin sebab utamanya ialah dalam soal rezki orang melayu faham bahawa ia mesti dicari tapi hanya menunggu dalam soal jodoh. Bagi perempuan atau pihak keluarganya akan lebih senang menyerahkan pada takdir kerana nanti akan melanggar adat `timba mencari perigi'. Persoalan kini adakah tepat sikap yang diamalkan begitu. Kalau terjadi perkara yang tidak diingini maka adilkah jika takdir dijadikan alasan. Bagi yang terlanggar batasan akal tidakkah akan menyalahkan Tuhan pada akhirnya.

Data terkini menunjukkan terdapat 600,000 di Malaysia anak dara yang berumur dari 30 hingga 34 tahun. Kalau cinta itu buta kenapa mereka tidak bertemu jodoh. Kawin sajalah dengan mana jejakapun. Tak kira tua ataupun muda. Tak kira miskin ataupun kaya. Tak kira dengan yang masih bujang ataupun bermadu. Tidak mungkin jumlah yang seramai itu mengambil keputusan membujang seumur hidup. Tentu sekali ada ciri-ciri tertentu yang membuatkan penyakit sosial seperti ini berlaku.

Kalau perempuan ciri pertama yang dipilih kemungkinan besar ialah faktor kecantikan. Faktor utama yang dipilih perempuan pula ialah wang ringgit dan pangkat. Kalau benarpun perkahwinan itu atas dasar cinta, itu hanyalah permulaan atau sekadar penyedap kata-kata. Tapi realitinya tidaklah sebegitu. Kecantikan bagi perempuan tentulah di usia muda tapi sebaliknya bagi lelaki faktor wang ringgit dan pangkat adalah di usia yang agak berumur. Jadi tidak hairanlah jika perempuan tidak menggunakan usia mudanya untuk berkahwin peluang itu agak tipis apabila usia telah mencecah 30an. Begitu juga tidak hairanlah jika trend wanita terkini memilih lelaki yang berada dipertengahan usia atau telah matang untuk dijadikan suami.

Bagi wanita berpelajaran, usia muda dihabiskan untuk menimba ilmu setinggi mungkin dan menangguhkan hasrat berkeluarga terlebih dahulu. Apabila mereka merasakan telah bersedia untuk itu, umur telahpun mencecah hampir 30 tahun. Di saat yang kritikal begini, jika tidak bertemu dengan calon yang tepat bererti mereka seperti melepasi umur yang ideal untuk tujuan perkahwinan. Maka mereka seolah-olah terpinggir dalam gelanggang memandangkan usia mereka telah melepasi had. Sedangkan dalam masa yang sama ramai lagi anak-anak dara yang sedang menanti dalam usia yang lebih muda. Peluang untuk berkahwin seperti telah sempit dan agak tertutup untuk tujuan itu. Lelaki yang dikira sebaya dengan mereka di usia sebegitu kebanyakkannya telahpun mendirikan rumahtangga. Kalau ada yang tertinggalpun hanya yang dikira bermasalah seperti teruna yang kekurangan wang ringgit atau menanggung adik-beradik yang besar atau yang bertaraf duda. Untuk berpoligami dalam masyarakat melayu ini, mereka masih pesimis dan memandang serong terhadap institusi itu. Maka kesudahannya nanti akan bersepah-sepahlah dalam masyarakat kita anak dara yang benar-benar tua.

Antara perbezaan anak Adam berbanding dengan jin ialah pandai berdolak-dalik. Mana-mana yang suka berterus terang tentu akan menyatakan bahawa ciri-ciri pilihan ialah rupa paras yang bagus, wang ringgit dan pangkat. Tapi yang agak cerdik mengatakan yang baik dari segi agamanya soleh atau solehah. Hakikatnya, mereka mempunyai persepsi tersendiri terhadap istilah yang digunakan tersebut.

Pada mata kasar, individu baik itu selalu dianggap kekurangan dan tidak menyerlah. Sebagai contoh, wanita baik yang cuba nak menjalankan syariat dengan menutup aurat bertudung lingkup pasti dipandang selekeh dan tidak boleh diketengahkan dalam masyarakat. Contoh yang lain pemuda yang ingin mengikut sunnah dengan menyimpan janggut dilihat tidak kemas dan tidak macho. Mereka dari golongan ini tidak suka melawa dan menunjuk-nunjuk. Oleh itu tarikan kepada mereka adalah berkurangan dan acap dipandang sinis oleh masyarakat melayu yang masih jahil. Walau apapun untuk memilih calon yang berprinsipkan agama memerlukan pengorbanan kerana sukar dari segi emosi dan sentimen.

Hayati maksud sabda nabi saw : " Wanita itu dinikahi kerana rupa parasnya, hartanya atau keturunannya atau agamanya. Pilihlah yang bercirikan agama nanti kamu akan beruntung ."

No comments: