Di antara tugas utama manusia sebagai khalifah ialah menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul. Segala masalah yang timbul pada hakikatnya bermula dan berpunca dari pegangan hati, seterusnya melahirkan sikap terhadap sesuatu perkara dan akhirnya melahirkan sikap tersebut dalam bentuk tindakan. Semuanya bergantung kepada pegangan hati, jika elok pegangan hati maka kesudahannya adalah elok dan begitulah sebaliknya. Kaedah penting dalam menyelesaikan apa-apa masalah ialah `kembali kepada asas’. Kita harus menilik apakah puncanya yang paling asasi yang membawa kepada sesuatu gejala. Menyelesaikan masalah dengan melihat kepada gejala-gejala yang timbul sama sekali tidak akan menyelesaikannya, malah kadang-kadang menambah biakkan lagi kudis-kudis yang ada. Seorang doktor yang bijak tentunya akan menilai sesuatu penyakit dengan melihat kepada punca sebenar penyakit itu. Apabila badan kita menerima serangan sesuatu penyakit, maka ia akan mengarahkan antibodi untuk melawannya dengan menghasilkan gejala demam. Tentunya setiap penyakit tidak dapat diubat dengan panadol atau paracetamol kerana demam hanyalah merupakan gejala kepada punca sebenar penyakit tersebut. Oleh itu adalah terlalu penting bagi kita apabila timbul sesuatu kepincangan pada diri kta dan orang yang disekeliling kita dengan kita sentiasa memerhatikan apakah niat yang bersarang di hati kita. Kita perlu membetulkan semula niat tersebut jika didapati menyimpang dari maksud asal. Seterusnya kita perlu menilai kembali apakah tindakan-tindakan yang dilakukan bertepatan dengan maksud tadi. Apa yang kita lihat di sekeliling kita samada baik atau buruk adalah hasil dari tindakan kita dan tindakan kita adalah hasil dari pegangan hati kita. Kita akan bertindak mengikut persepsi tadi. Jika berfikir positif maka hasilnya adalah positif dan orang ramai memandangnya sebagai positif, begitulah sebaliknya jika negatif akan dianggap negatif oleh orang ramai.
Hayati firman Allah : " Sesungguhnya bukan mata yang buta tetapi yang buta itu adalah hati yang ada dalam dada." ( 22 : 46 )
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment