Apabila timbul masalah keluarga dalam masyarakat digembar-gemburkan di dada akhbar, selalunya individu-individu masyarakat mempunyai persepsi yang tersendiri. Sikap yang paling popular ialah menuding jari dan mencari salah mana-mana pihak yang dianggap menyeleweng. Kes-kes sebegini di guna sebaik mungkin oleh media untuk melariskan jualan akhbar dan tabloid syarikat mereka. Kesan yang buruk kepada masyarakat apabila mereka sering terdedah isu-isu sebegini akan menganggap perkara sebegini adalah lumrah. Isu perkahwinan lambat atau meneruskan hidup membujang nampaknya tidak begitu hangat diperkatakan. Sedangkan kes begini dipandang serius oleh Islam kerana ia adalah antara faktor utama yang membawa kepada kerosakan sosial.
Jarang sekali dari kita mencari punca masalah-masalah di atas dan terlalu sedikit yang mahu mencari penyelesaian. Masalah andartu, andalusia atau janda bukan hanya masalah individu tapi masalah bersama yang perlu ditangani oleh masyarakat. Dalam era yang moden ini, semakin ramai pemuda-pemudi yang menangguhkan hasrat untuk berumah tangga. Masing-masing golongan Adam dan Hawa akan cuba memberikan alasan untuk membenarkan tindakan mereka. Hakikatnya, tiada satupun alasan munasabah yang boleh diterima untuk membenarkan hidup membujang. Islam meletakkan berkelamin adalah kehidupan ideal. Keberantakan keluarga yang semakin menjadi bukanlah alasan untuk menolak perkara yang baik. Sebagai contoh yang mudah, kemalangan jiwa yang begitu ramai di atas jalanraya bukanlah alasan untuk kita tidak menggunakan jalanraya. Sifat negatif semulajadi dalam diri manusia seperti mementingkan diri adalah punca utama perkara seperti ini.
Islam sebagai agama suci juga sangat menggalakkan supaya wanita berkahwin dan menjanjikan jalan yang mudah menuju ke syorga melalui ketaatan kepada suami. Suami pula diwajibkan memberikan nafkah zahir dan batin kepada isteri. Apa yang jelas semua bebanan diletakkan kepada suami. Mungkin juga perempuan lebih sukar berkahwin jika dibandingkan dengan lelaki. Jadi jaminan Islam itu sepatutnya tidak membuatkan perempuan rasa berputus asa untuk berkahwin lagi jika berlaku kes kematian suami atau perceraian. Mereka sepatutnya mengambil iktibar dari pengalaman yang lampau untuk menentukan ciri-ciri calon suami sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam.
Arus faham kebendaan yang begitu hebat telah menyebabkan individu lelaki dan perempuan mencari cara yang lain ataupun tersasar dalam memenuhi naluri berkelamin. Kita sepatutnya percaya dan yakin dengan janji Allah untuk memberikan kekayaan dengan keberkatan dalam perkahwinan. Trend wanita yang berkarier telah menjadikan institusi perkahwinan semakin rapuh. Mungkin kerana merasakan mampu berdikari dan tidak memerlukan bantuan suami. Persoalan kini, kenapakah sang isteri lebih mudah patuh kepada arahan ketua di pejabat jika dibandingkan dengan ketaatan kepada suami.
Kos perkahwinan yang diletakkan masyarakat semakin tinggi selaras dengan kenaikan harga minyak dan barangan keperluan harian menambahkan lagi kemelut ini. Mas kahwin, hantaran dan berprestijnya majlis perkahwinan nampaknya dijadikan sandaran status pasangan mempelai walaupun ada yang mungkin terpaksa berhutang untuk tujuan tersebut. Alasan bahawa majlis seumpama itu adalah sekali seumur hidup mungkin tidak tepat. Apalagi jika ikatan halal yang sangat-sangat digalakkan itu, ditangguhkan berulangkali semata-mata untuk melengkapkan segala persediaan majlis tersebut. Keadaan lebih parah jika hasil dari niat yang tidak ikhlas, akhirnya membawa keadaan rumah tangga yang tidak tenteram dan berkesudahan dengan perceraian. Biarlah bersederhana tapi hasilnya penuh keberkatan.
Jika perkara ini tidak dapat diselesaikan maka masyarakat bakal mengundang risiko sosial yang berat kerana masalah pengangguran dalam menyempurnakan naluri insani. Masalah-masalah seperti bersekedudukan haram, anak luar nikah dan kerenah dalam bercinta yang tidak berkesudahan adalah antara lain faktor-faktor yang mengundang kepada masalah ini.
Oleh itu persoalan ini adalah masalah bersama yang perlu ditangani secara menyeluruh dan melibatkan semua unit-unit masyarakat. Masyarakat perlu difahamkan dengan sejelas-jelasnya bahawa soal nikah kahwin bukan hanya soal berseronok dan mencari glamour tapi masalah survival bangsa. Para pemimpin masyarakat dan ahli-ahli politik perlu memberi penekanan yang serius dalam perkara sebegini. Penulis merasakan, sekarang ini adalah masa yang terbaik untuk kerajaan mengadakan majlis perkahwinan besar-besaran dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang kurang mampu. Alangkah bertuahnya bumi Malaysia jika acara ini dijadikan acara tahunan dengan cukup meriah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment