Friday, March 13, 2009

BOLASEPAK DAN REALITI KEHIDUPAN

Barangkali soalan : Apakah satu perkataan yang difahami oleh semua manusia di dunia jawapannya adalah ‘gol’. Begitulah tersebar luasnya permainan ini dan diminati oleh segenap lapisan masyarakat dunia berbanding dengan permainan-permainan yang lain. Persoalan timbul mengapa bolasepak dipilih sebagai yang paling digemari dan mendapat liputan begitu meluas seluruh dunia.

Jarang sekali orang mencari jawapan kenapa keadaannya begitu. Sebenarnya bolasepak lebih mendekati kepada kehidupan sebenar berbanding dengan permainan yang lain. Bola hanya sebiji tapi dikejar oleh dua puluh dua orang pemain. Dalam kehidupan begitulah apa yang terjadi. Orang ramai akan berlumba-lumba mendapatkan dan memuja jenama. Mereka tidak menghiraukan lagi jenama-jenama yang tidak terkenal walaupun ada kemungkinan yang terkenal itu kualitinya kurang dan jauh lebih mahal dari yang tidak berjenama.

Bola akan dikejar dengan bersungguh-sungguh dan selepas itu akan ditendang kembali. Jika bola tidak didapati mereka lebih rela menyepak kaki lawan dan menjatuhkan orang lain. Inilah ibarat kehidupan kebendaan di dunia ini. Manusia akan bermati-matian mengejar kebendaan, sanggup melakukan apa sahaja asalkan mendapat apa yang dinamakan duit, wang dan pangkat. Tidak menghirau apakah halal atau haram, tidak peduli samada menjejaskan maruah diri dan menjatuhkan orang lain, tidak mengambil kira siapakah empunya, janji apa yang dikejar dapat digenggam. Selepas apa yang berada di tangan orang didapati, dia hanya berpuas hati dalam masa yang singkat. Selepas itu dia mendapati apa yang ada pada dirinya masih kekurangan. Dia akan memandang lagi apa yang berada di tangan orang lain. Begitulah keadaan ini berterusan sampai bila-bila sehingga mereka masuk ke lubang kubur dan itulah ‘gol’ namanya.

Bola sepak adalah permainan yang adil kerana mempunyai pengadil dan penjaga garisan. Pemain-pemain masih tidak segan silu melakukan kesilapan walaupun perbuatan itu dilakukan di hadapan pengadil. Tidak serik sehingga dikeluarkan dari padang dengan kad merah. Begitulah kehidupan harian kita, ada hakim, ada polis dan tentera. Kesalahan dan jenayah akan terus-menerus dilakukan sehingga dikenakan hukuman denda, penjara. Keluar dari penjara ulangi lagi jenayah lama sehingga menerima hukuman mati sebagai kesudahan. Kalau diikutkan resam manusia jika dihidupkan lagi selepas mati, kesalahan tersebut akan terus dilakukan. Tetapi Allah Maha Adil, hanya memperuntukkan hidup di dunia hanya sekali.

Pemain akan berusaha bekerja keras menyumbat gol. Untuk itu mereka akan berlatih bersungguh-sungguh mempertajamkan sepakan dan melajukan pergerakan. Cuma mereka tidak tahu adakah permainan yang bakal berlangsung mampu mendapatkan gol ataupun tidak. Meraka juga tidak dapat meramalkan kalau berjaya mendapatkan gol, pada minit ke berapakah ia akan dilakukan. Begitulah juga apa yang direalisasikan oleh kehidupan realiti. Begitulah amalan kehidupan yang dilalui oleh kita. Kita hanya merancang dan berusaha. Apa akan terjadi dan apa kesudahannya, kita serahkan kepada Allah. Satu pendapat orang bisnes bukan muslim yang berjaya, perlu kerja keras dan sedikit nasib yang baik. Sebagai muslim kita ada konsep kita. Perkataan yang digunakan ialah ‘tawakkul’ telah dimelayukan menjadi tawakal. Ia dimaksudkan bersungguh, mengkaji dengan mendalam, bermesyuarat dan akhirnya menyerahkan keputusannya kepada Allah.

Hayati Firman Allah s.w.t : ‘Ketahuilah, bahawa sesungguhnya hidup di dunia hanyalah permainan, hiburan, kosmetik dan bermegah-megah antara kamu serta berlomba-lomba dalam mengumpulkan harta dan pengikut….” ( 57:20)

No comments: