Perundangan Barat adalah diasaskan di atas prinsip kebebasan peribadi. Oleh kerana itu mereka bebas melakukan apa sahaja mengikut kehendak kemahuan nafsu. Sebagai contoh mereka mempunyai kebebasan untuk bersuara, minum arak, hak untuk berbogel, memilih pasangan seks dan sebagainya. Individu-individu di Barat bebas melakukan apa sahaja asalkan tidak menganggu orang lain. Mereka bebas meminum arak umpamanya asalkan tidak memandu dalam keadaan mabuk. Seseorang remaja yang telah mencapai umur 18 tahun bebas melakukan apa sahaja dan ibubapa sekalipun tidak berhak menegur. Jika tidak disenangi oleh remaja tersebut berkemungkinan boleh dibawa kes itu ke mahkamah. Perkembangan terkini, negara-negara Barat telah menghalalkan perkahwinan sejenis walaupun ia bercanggah dengan ajaran Kristian. Perkara ini berlaku tidaklah pelik kerana mereka mengamalkan pemerintahan sekular di mana agama juga dianggap sebagai hak peribadi.
Tujuan yang paling asas bagi perkahwinan ialah untuk menghalalkan perhubungan yang sah. Dalam erti kata yang lain ialah supaya nikmat seks boleh disalurkan secara yang tidak dipertikaikan dan zuriat yang bakal lahir dipastikan mempunyai keturunan yang baik. Dalam masyarkat Barat sekalipun mereka memandang serong jika seseorang itu dilahirkan tanpa bapa yang sah. Walaupun dalam pergaulan harian mereka tidak batasan akhlak dan nilai. Bagi mereka hubungan seks juga adalah hak individu dan orang lain tidak berhak ambil kisah asalkan ada kerelaan. Jika ada unsur paksaan maka sampailah giliran mahkamah untuk selesaikan masalah itu. Mereka juga tidak ambil peduli adakah seks dilaku sebelum atau selepas perkahwinan. Selain seks bebas mereka juga mengamalkan kahwin percubaan dalam mana dua individu akan tinggal sebumbung dan menjalani proses biasa seperti pasangan suami isteri. Setelah beberapa tahun berlalu dan mendapat anak mereka akan putuskan samada sesuai untuk meneruskan perkahwinan atau tidak.
Dengan perkembangan komunikasi yang pesat membuatkan dunia menjadi semakin sempit. Dunia barat tidak lagi dianggap jauh dan budaya mereka meresap ke dalam budaya timur dengan begitu dahsyat sekali tanpa disedari dengan penuh sedar impak dan dampaknya. Piimpinan Timur yang beragama Islam tidak mengambil langkah-langkah yang tepat dalam menangani budaya Barat yang telah menjiwai golongan remaja khususnya. Mainan politik Barat yang begitu licik berjaya melekakan dan membuat mereka asyik sehingga lupa menyediakan generasi yang akan menerajui negara.
Lalu apakah bingkisan yang dibawa oleh Islam sebagai Addin yang syumul dan lengkap dalam menangani tsunami Barat yang melanda negara-negara yang khususnya mempunyai majoriti umat Islam. Oleh kerana artikel ini khusus mengenai institusi perkahwinan maka penulis cuba merungkai permasalahan ini dari persepektif Islam. Islam telah membuka pintu halal seluas-luasnya. Tinggal lagi masyarakat Islam perlu memahami Islam dan membuka minda mereka seluas-luasnya. Oleh kerana Islam menentang hebat perzinaan maka sebaliknya Islam telah memudahkan perkahwinan dengan semudah-mudahnya. Islam menganggap hidup di dunia ini adalah sementara dan terlalu singkat untuk kita melakukan kerja yang tidak sepatutnya dan membuang masa. Suatu komuniti terdiri dari unit-unit rumahtangga yang di dirikan untuk melahirkan generasi akan datang. Jika kita ingin melakukan pembaikan dan perubahan maka perlulah diambil berat dan dipupuk dengan baik generasi akan datang. Baiknya generasi akan datang bermakna akan bertambah baiklah sesebuah komuniti itu dan begitulah sebaliknya. Oleh itu institusi perkahwinan perlu dipulihara dengan sebaik mungkin.
Masalah terkini yang dialami oleh negara-negara umat Islam ialah lahirnya bayi-bayi diluar status perkahwinan. Masalah ini timbul kerana pertentangan dua generasi. Satu generasi telah menerima asakan budaya luar dan generasi yang lebih tua mempertahankan budaya yang agak lapuk. Arus kebendaan telah membuatkan penyatuan dua insan begitu sukar sehingga perkara yang paling mudah menjadi sepayah-payahnya. Kenduri perkahwinan umpamanya telah digembar-gemburkan sehingga menjadi satu prestij sesuatu keluarga walaupun kurang keberkatannya yang akhirnya membawa kepada porak-perandanya sistem kekeluargaan. Pengangguran ditentang sehebat-hebatnya oleh Islam sehinggalah kepada tidak membiarkan hidup membujang menjadi barah masyarakat. Jika pintu halal semakin sempit maka akibatnya pintu haramlah yang mengambil tempatnya dan akan dibuka seluas-luasnya.
Hayati firman Allah : " Hendaklah kamu kahwinkan orang-orang yang hidup membujang di antara kamu...Jika mereka itu orang fakir miskin, Allah akan mengayakan mereka dengan kurniaanNya. Allah luas kurnia Nya lagi Maha Mengetahui.".( 24 : 32 )
No comments:
Post a Comment