Ramai manusia yang tidak memahami hakikat bahawa akal dan nafsu hanyalah alat untuk melengkapkan kehidupan di dunia. Setiap manusia dilahirkan dengan hawa nafsu dan naluri yang lengkap tetapi akal yang perlu dipenuhi dan dihiasi. Ciri-ciri seperti marah, cemburu, sedih dan sebagainya sudahpun wujud bersama lahirnya manusia. Akan tetapi ciri-ciri akal seperti kebolehan membaca perlu diusahakan. Kalau nak dibandingkan bolehlah diumpamakan seperti bekas kosong yang perlu diisi atau seperti komputer yang baru keluar dari kilang. Komputer itu akan beroperasi mengikut memori yang dimasukkan. Begitu jugalah akal yang akan beroperasi mengikut apakah 'input' yang dimasukkan. Nabi s.a.w ada bersabda : " Setiap manusia dilahirkan mengikut fitrah. Ibu bapanya lah yang menjadikan dia Yahudi atau Nasrani ".
Ibubapa mempunyai pengaruh yang paling kuat kepada anak-anak dalam membentuk sahsiah peribadi sehinggalah sampai ke akhir hayat. Agama merupakan pegangan hidup dan akan dipegang sampai bila-bila serta paling sukar dirungkai. Seseorang yang ingin menukar agama perlu membuat pengorbanan yang maha besar dalam hidupnya. Oleh itu tidak syak lagi ibubapa adalah pemain peranan utama dalam menentukan ciri-ciri peribadi seseorang itu. Pengaruh yang tidak kurang penting ialah guru dan pendidik.
Di era langit terbuka dan ekonomi bebas seperti sekarang nampaknya pengaruh-pengaruh tersebut menjadi semakin kompleks. Apabila seseorang itu meningkat dewasa maka perasaan ingin tahu semakin hebat dan mencabar. Ketika itu pengaruh kawan dan sahabat mengambil tempat ibubapa. Pengaruh ini ada positif dan negatifnya, akan tetapi yang paling dibimbangkan adalah yang menjurus ke arah keburukan. Keburukan itu ditambah lagi dengan dasar langit terbuka yang mendedahkan kepada budaya dan dunia luar. Sebaran cepat melalui alat komunikasi seperti internet dan telefon mudah alih menyukarkan lagi usaha ibubapa untuk mengawal anak-anak mereka.
Sebagaimana yang disebutkan di atas, akal hanya merupakan alat dan ia sebenarnya memerlukan ilmu dan kepakaran sebelum seseorang dapat menggunakannya sebaik mungkin. Oleh kerana akal dianugerahkan secara percuma maka sifat kesyukuran selalu diabaikan. Peranan dan fungsi akal selalu diabaikan sehingga ia melarat kepada menyokong emosi dan perasaan semata-mata. Sebagai contoh, seseorang yang memiliki alat bertukang tak semestinya dia boleh menjadi tukang yang mahir kalau dia tiada pengetahuan dan kemahiran pertukangan. Begitulah juga seorang yang mempunyai akal tidak semestinya dia berfikir dengan cara yang betul dan tentu tindakannya juga tidak betul. Untuk memantapkan penggunaan akal tersebut seseorang itu memerlukan ibubapa, pendidik, sahabat dan suasana yang baik. Semuanya ini mempengaruhi gaya pemikiran seseorang.
Satu perkara yang tidak kurang penting juga dalam proses berfikir ialah keterbukaan dalam menerima pendapat yang berbeza. Di sini selalunya faktor emosi memainkan peranan untuk mempengaruhi dalam membuat keputusan. Oleh itu terlalu penting bagi kita membuang emosi dan mainan perasaan dan menyerahkan kepada kekuatan hujah dan dalil. Seseorang itu boleh berpegang kepada mana-mana pendapat pada sesuatu masa tapi tidak boleh taksub dengan pendapat tersebut. Ini adalah kerana mungkin masa akan menghukum apakah pendapat tersebut boleh diketengahkan ataupun tidak. Jadi faktor masa juga adalah penting. Mungkin sesuatu kes tidak dapat ditentukan dalam masa yang singkat. Jadi sikap neutral memainkan peranan dalam perkara itu. Kekuatan mental diperlukan untuk mendengar hujah dari pendapat-pendapat yang lain. Semakin banyak pendapat yang dinilai tentu akan menambahkan lagi kekuatan pada pendapat yang akan dipegang oleh kita.
Maka hayatilah firman Allah dalam Al Quran yang bermaksud "Gembirakanlah mereka yang mendengar pendapat kemudian mengikut yang terbaik.." ( 39 : 18 )
No comments:
Post a Comment