Thursday, November 6, 2008

FAHAM KEBENDAAN DARI PERSPEKTIF ISLAM

Islam memerangi faham kebendaan kerana ia adalah fahaman yang bertunjangkan kesyirikan. Faham yang asasnya tidak mempercayai perkara ghaib iaitu kepercayaan kepada Allah dan hari akhirat. Dari fahaman inilah lahirnya pemujaan kepada berhala. Kajian peninggalan zaman purba mendapati banyak puing-puing dan artifak kaum yang memuja berhala. Pemuja-pemuja fahaman ini menjadikan patung-patung yang pelbagai jenis dan bentuk sebagai pembayang kepada Tuhan yang ghaib. Ada arca yang berbentuk manusia yang ditambahkan dengan bilangan tangan yang banyak. Ada patung wanita yang menunjukkan Tuhan itu ada berjantina seperti perempuan. Ada juga dalam bentuk binatang kerana Tuhan mengasimilisasikan dirinya kepada bentuk binatang. Inilah bayangan-bayangan mereka terhadap Tuhan dan betapa mereka teraba-raba dalam mencari sifat-sifat dan zat Allah. Ada juga dalam bentuk manusia sebagai insan soleh semasa hidupnya dan telah diangkat menjadi dewa. Apabila dikritik bahawa patung-patung tersebut tidak bernyawa bahkan mereka sendirilah yang membuatnya, mereka akan mengemukakan alasan-alasan seperti mereka bukanlah menyembah berhala tersebut tetapi sebagai perantara untuk mendekatkan lagi diri mereka kepada Tuhan. Islam menentang hebat fahaman ini dengan mewajibkan para penganutnya supaya berhubung terus dengan Allah tanpa memerlukan apa-apa perantaraan.

Fahaman kebendaan ini telah lama bertapak di dunia ini. Al quran mengungkapkan sejarah penyembahan berhala bermula seawal zaman nabi Nuh a.s. Kaum Nuh telah dibersihkan dengan meninggalkan zuriat yang beriman. Setelah diganti dengan generasi berikutnya yang sudah kurang menghayati Islam, fahaman kebendaan telah mula meresap masuk dan lama kelamaan mereka meninggalkan solat dan akhirnya menemui kesesatan. Maka bermulalah era penyembahan kepada hawa nafsu. Pada mulanya mereka menjadikan gambar dan arca sebagai mengingati orang yang mereka sanjung dan puja. Lama-kelamaan ia menjadi adat dan kebiasaan. Setelah itu bermulalah episod pemujaan dan penyembahan.

Era baru pemujaan kepada hawa nafsu dan kebendaan telah bertukar dengan penjelmaan dalam bentuk yang baru berupa fahaman dan isme yang dipelbagaikan supaya dapat memerangkap insan-insan yang lemah dan sombong takbur. Orang yang memahami maksud syariah tentu tahu bahawa maksud pengabdian yang murni ialah dengan membuang penyembahan kepada kebendaan berbentuk spiritual. Adapun berhala dan patung adalah manifestasi dari penyembahan jiwa nurani. Oleh kerana itulah Nabi Muhammad di era awal dakwah baginda tidak memerintahkan pengikut-pengikutnya supaya meruntuhkan dan menghancurkan berhala-berhala sekeliling kaabah.

Maksud faham kebendaan bukanlah bermakna kita tidak boleh memiliki harta ataupun wang ringgit. Islam bahkan menggalakkan secara tidak langsung kita mencari harta. Sebagai contoh terdapat ayat Al Quran yang menggalakkan kita berpakaian indah ketika mengimarahkan masjid, mewajibkan dan menggesa ummat Islam supaya mengeluarkan zakat dan bersedekah, mewajibkan muslimin pergi menunaikan haji ke Makkah dan berkorban harta demi menegakkan jihad. Ini semua tidak lain menunjukkan bahawa harta dan wang ringgit adalah perlu demi menegakkan agama. Perlu juga difahami kebendaan di sini bukan hanya bermakna barang-barang berjisim. Bahkan ia bermaksud faham atau cara berfikir yang tidak berteraskan kepada Iman iaitu kepercayaan kepada perkara-perkara ghaib seperti Allah dan Hari Akhirat.

Hayati firman Allah : " Hai anak-anak Adam, pakailah perhiasanmu ketika tiap-tiap sembahyang...." ( 7 : 31 )




No comments: