Thursday, November 6, 2008

FAHAM KEBANGSAAN : BERTENTANGAN DENGAN ISLAM

Faham Kebangsaan adalah salah satu dari pecahan-pecahan Faham Kebendaan. Golongan pejuang faham kebendaan ini akan mempertahankan ideologi mereka bahawa ada hadith yang menyebutkan bahawa kasihkan negara adalah sebahagian dari iman. Itulah kalimah yang benar tapi yang dimaksudkan adalah kebatilan. Kedangkalan mereka dalam memahami akar tunjang Islam telah menyebabkan mereka menghalalkan apa dilarang oleh Islam.

A`sobiyyah atau Nasionalisme atau faham kebangsaan ini bermaksud menolong dan menyokong bangsa sendiri di atas kezaliman. Bila disebut perkataan zalim selalunya kita akan memahami ia bermaksud menganiyaya atau menyebabkan orang lain menderita. Perlu disedari itu semua adalah kemuncak kezaliman. Tapi Islam sebagai agama yang bersifat mencegah, dari awal-awal lagi telah menitik beratkan sesuatu perkara tidak baik dan menghalang dari bercambah sejak dari benih lagi. Di sinilah terletak rahsia mengapa syirik itu adalah kemuncak kezaliman. Daripada akidah syirik inilah yang melahirkan kekufuran dan akhirnya membawa kepada kebejatan sosial dan kerosakan di muka bumi.

Sikap memandang sebelah mata terhadap salahlaku dan jenayah yang dilakukan anak bangsa sendiri telah mengundang banyak kemelut di negara ini khususnya dan seluruh dunia amnya. Dari pegangan a`sobiyyah inilah lahirnya sikap pilih kasih dan kronisme. Mengambil sikap luncai terjun dengan labu-labu pada awalnya, menyembunyikan masalah di bawah permaidani dan akhirnya menjadi dilema yang membarah dan tidak mungkin disembuhkan lagi. Pelbagai undang-undang dan peraturan yang diluluskan tapi tidak dikuatkuasakan kerana melibatkan orang dalaman dan pihak atasan.

Ada pendapat yang mengatakan bahawa bangsa Yahudi telah berada di kemuncak seperti sekarang ini kerana memperjuangkan bangsa. Tidakkah golongan itu sedar bahawa dunia ini porak peranda kerana sistem yang dicipta oleh Yahudi. Tidakkah mereka insaf bahawa untuk Yahudi berada di tempat seperti sekarang ini, bangsa mereka sendiri telah dikorbankan dalam perang dunia pertama dan kedua. Itulah kesudahan perjuangan kebangsaan. Akhirnya mengorbankan dan menghancurkan bangsa sendiri. Mereka sanggup melacurkan apa-apa sahaja kaedah dan cara asal sahaja matlamat yang dikejar tercapai.

Kenapa negara-negara umat Islam yang ada hari ini dipandang sinis oleh negara-negara lain. Jawabnya umat Islam telah menggunakan cara yang tidak dibenarkan Islam itu sendiri. Umat Islam telah mengguna pakai perjuangan nasionalisme. Mereka memperjuangkan fahaman itu untuk mencapai kemerdekaan dari penjajah dan mengikut telunjuk dan syarat penjajah demi mencapai kemerdekaan. Apabila kemerdekaan telah dicapai bererti matlamat telah dicapai dan mereka mula leka memperjuangkan Islam dan akhirnya mengabaikan dan mengorbankan bangsa sendiri yang ramai demi menambah kekayaan dan mempertahankan kuasa segelintir dari mereka.

Apa yang pasti pejuang-pejuang kebangsaan ini tidak sedikitpun rasa bersalah dan menanggap itu semua adalah keperluan dalam perjuangan mereka. Anak bangsa mereka akan terus dibuai dengan kata-kata manis dan mereka hanyut dalam khayalan. Apabila terkejut mereka telahpun lemas dan parah. Kalau nasib tak menyebelahi, tentu harga dan maruah bangsa telah tergadai. Apakah daya nasi telah menjadi bubur.


Hayati firman Allah : ".... Janganlah engkau mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan itu adalah aniaya yang besar. " ( 31 : 13 )

Hayati Sabda Rasulullah s.a.w : " Bukan dari kalangan kami mereka yang menyeru a`sobaiyyah. Bukan dari kalangan kami mereka yang mati di atas a`sobiyyah dan bukan dari kalangan kami mereka yang mati kerana a`sobiyyah."

No comments: