Sunday, November 9, 2008

ISLAM ADALAH AGAMA YANG PALING MUDAH DIFAHAMI

Ajaran yang paling teras dalam Islam iaitu ajaran Tauhid begitu jelas menyatakan bahawa Tuhan adalah esa. Sifat ketunggalan Allah begitu mudah difahami sebagaimana yang termaktub dalam ajaran Islam. Akal yang sihat tentu akan mengatakan Tuhan hanya satu dan sukar menerima berbilang-bilangnya Tuhan atau sesuatu yang memiliki kuasa seperti Tuhan. Sistem alam yang begini luas, unik dan teratur tentu menunjukkan adanya pencipta yang tunggal. Kalau tidak tentu hancur dan binasa kerana percanggahan sistem dan penguasanya.

Barangkali ada di antara kita yang tidak percaya bahawa ada agama di dunia ini yang mempunyai penganut yang begitu ramai tapi tidak percaya wujudnya Tuhan. Bunyinya pelik kan! Tapi itulah hakikatnya. Ada agama yang mengajar umatnya bahawa Tuhan itu ada tiga. Ada pula agama yang membiarkan sahaja penganutnya menentukan berapa sahaja bilangan Tuhan yang disukai penganutnya sehingga boleh mencapai sampai seribu. Semua agama-agama di atas mempunyai pengikut yang terlalu ramai walaupun bunyinya tidak masuk akal. Oleh kerana fahaman-fahaman tersebut telah meningkat ke taraf `agama' maka ia telah menjadi 'taboo' dan tidak boleh ditanya dan dipersoalkan lagi. Mungkin itulah sebabnya mengapa penganut komunis mengatakan agama adalah candu masyarakat. Candu walaupun tidak baik untuk kesihatan tapi kerana sudah terbiasa dan diterima ramai maka orang sudah tidak peduli lagi samada lojik atau tidak. Tapi mereka tidak mempelajari atau mempunyai maksud yang jahat sehingga terlajak memasukkan Islam sekelompok bersama agama-agama yang lain.

Ajaran Islam begitu realistik dan saintifik mengenai alam semesta ini yang ada permulaan dan ada penghujung. Berdasarkan kajian saintifik alam ini tercipta sejak lebih dari 4 billion tahun yang lampau. Ahli-ahli sains juga tidak menolak akan berlaku kemusnahan terhadap alam ini suatu hari nanti. Kita memerlukan Hari Pengadilan Agung untuk menjatuhkan hukuman seadil-adilnya kerana hukuman di dunia ini masih tidak mutlak. Seorang penjenayah umpamanya mungkin tidak menerima hukuman atau menerima hukuman yang tidak setimpal bahkan ada sebahagian mereka yang dianggap hero dan dipuja. Begitu juga pejuang kebenaran ada yang ditentang hebat dan mendapat musibah dan ada yang berakhir dengan kematian.

Percaya atau tidak, ada agama yang tidak mempercayai bahawa satu hari nanti akan berlaku kehancuran alam ini dan diganti dengan suatu alam yang baru untuk tujuan pengadilan. Selepas itu kesudahan manusia adalah samada ke neraka atau syurga. Agama tersebut mempercayai kepada keabadian dunia dan alam semesta. Pembalasan baik dan buruk hanya berlaku di dunia ini melalui proses kelahiran semula. Sedangkan Islam menganggap semua makhluk adalah sama tarafnya kecuali manusia kerana diberikan peranan khalifah. Manusia adalah raja alam dan akan dipertanggungjawabkan dan akan disoal siasat di dunia dan akhirat.

Hayatilah firman Allah : " Hampir-hampir langit menjadi pecah kerananya dan bumi terbelah dan gunung-ganang gugur hancur. Oleh kerana mereka mengatakan Yang Maha Pengasih mempunyai anak". ( 19:90-91 )
" Katakanlah Dialah Allah yang MahaEsa ( tunggal ) ". ( 112 : 1 )

Thursday, November 6, 2008

MEMPERTAHANKAN INSTITUSI PERKAHWINAN

Mana-mana agama dan bangsapun di dunia ini mengiktiraf institusi perkahwinan. Dengan peredaran dan perkembangan zaman kaedah, amalan dan cara hidup telah berubah. Persepsi terhadap institusi ini telah menerima pelbagai persepsi dalam masyarakat setempat dan tentu akan terpengaruh dengan arus kemajuan kebendaan. Sudah tentulah negara-negara termaju akan dijadikan 'role model' dalam apapun persepsi masyarakat terhadap bidang kehidupan. Kita tidak dapat lari dari membincangkan kehidupan seks dan alam perkahwinan masyarakat Barat kerana mereka telah mewarnai cara kehidupan bangsa-bangsa dan negara lain di dunia ini.

Perundangan Barat adalah diasaskan di atas prinsip kebebasan peribadi. Oleh kerana itu mereka bebas melakukan apa sahaja mengikut kehendak kemahuan nafsu. Sebagai contoh mereka mempunyai kebebasan untuk bersuara, minum arak, hak untuk berbogel, memilih pasangan seks dan sebagainya. Individu-individu di Barat bebas melakukan apa sahaja asalkan tidak menganggu orang lain. Mereka bebas meminum arak umpamanya asalkan tidak memandu dalam keadaan mabuk. Seseorang remaja yang telah mencapai umur 18 tahun bebas melakukan apa sahaja dan ibubapa sekalipun tidak berhak menegur. Jika tidak disenangi oleh remaja tersebut berkemungkinan boleh dibawa kes itu ke mahkamah. Perkembangan terkini, negara-negara Barat telah menghalalkan perkahwinan sejenis walaupun ia bercanggah dengan ajaran Kristian. Perkara ini berlaku tidaklah pelik kerana mereka mengamalkan pemerintahan sekular di mana agama juga dianggap sebagai hak peribadi.

Tujuan yang paling asas bagi perkahwinan ialah untuk menghalalkan perhubungan yang sah. Dalam erti kata yang lain ialah supaya nikmat seks boleh disalurkan secara yang tidak dipertikaikan dan zuriat yang bakal lahir dipastikan mempunyai keturunan yang baik. Dalam masyarkat Barat sekalipun mereka memandang serong jika seseorang itu dilahirkan tanpa bapa yang sah. Walaupun dalam pergaulan harian mereka tidak batasan akhlak dan nilai. Bagi mereka hubungan seks juga adalah hak individu dan orang lain tidak berhak ambil kisah asalkan ada kerelaan. Jika ada unsur paksaan maka sampailah giliran mahkamah untuk selesaikan masalah itu. Mereka juga tidak ambil peduli adakah seks dilaku sebelum atau selepas perkahwinan. Selain seks bebas mereka juga mengamalkan kahwin percubaan dalam mana dua individu akan tinggal sebumbung dan menjalani proses biasa seperti pasangan suami isteri. Setelah beberapa tahun berlalu dan mendapat anak mereka akan putuskan samada sesuai untuk meneruskan perkahwinan atau tidak.

Dengan perkembangan komunikasi yang pesat membuatkan dunia menjadi semakin sempit. Dunia barat tidak lagi dianggap jauh dan budaya mereka meresap ke dalam budaya timur dengan begitu dahsyat sekali tanpa disedari dengan penuh sedar impak dan dampaknya. Piimpinan Timur yang beragama Islam tidak mengambil langkah-langkah yang tepat dalam menangani budaya Barat yang telah menjiwai golongan remaja khususnya. Mainan politik Barat yang begitu licik berjaya melekakan dan membuat mereka asyik sehingga lupa menyediakan generasi yang akan menerajui negara.

Lalu apakah bingkisan yang dibawa oleh Islam sebagai Addin yang syumul dan lengkap dalam menangani tsunami Barat yang melanda negara-negara yang khususnya mempunyai majoriti umat Islam. Oleh kerana artikel ini khusus mengenai institusi perkahwinan maka penulis cuba merungkai permasalahan ini dari persepektif Islam. Islam telah membuka pintu halal seluas-luasnya. Tinggal lagi masyarakat Islam perlu memahami Islam dan membuka minda mereka seluas-luasnya. Oleh kerana Islam menentang hebat perzinaan maka sebaliknya Islam telah memudahkan perkahwinan dengan semudah-mudahnya. Islam menganggap hidup di dunia ini adalah sementara dan terlalu singkat untuk kita melakukan kerja yang tidak sepatutnya dan membuang masa. Suatu komuniti terdiri dari unit-unit rumahtangga yang di dirikan untuk melahirkan generasi akan datang. Jika kita ingin melakukan pembaikan dan perubahan maka perlulah diambil berat dan dipupuk dengan baik generasi akan datang. Baiknya generasi akan datang bermakna akan bertambah baiklah sesebuah komuniti itu dan begitulah sebaliknya. Oleh itu institusi perkahwinan perlu dipulihara dengan sebaik mungkin.

Masalah terkini yang dialami oleh negara-negara umat Islam ialah lahirnya bayi-bayi diluar status perkahwinan. Masalah ini timbul kerana pertentangan dua generasi. Satu generasi telah menerima asakan budaya luar dan generasi yang lebih tua mempertahankan budaya yang agak lapuk. Arus kebendaan telah membuatkan penyatuan dua insan begitu sukar sehingga perkara yang paling mudah menjadi sepayah-payahnya. Kenduri perkahwinan umpamanya telah digembar-gemburkan sehingga menjadi satu prestij sesuatu keluarga walaupun kurang keberkatannya yang akhirnya membawa kepada porak-perandanya sistem kekeluargaan. Pengangguran ditentang sehebat-hebatnya oleh Islam sehinggalah kepada tidak membiarkan hidup membujang menjadi barah masyarakat. Jika pintu halal semakin sempit maka akibatnya pintu haramlah yang mengambil tempatnya dan akan dibuka seluas-luasnya.

Hayati firman Allah : " Hendaklah kamu kahwinkan orang-orang yang hidup membujang di antara kamu...Jika mereka itu orang fakir miskin, Allah akan mengayakan mereka dengan kurniaanNya. Allah luas kurnia Nya lagi Maha Mengetahui.".( 24 : 32 )


KENAPA INDIVIDU MUSLIM TIDAK PERLU KELUAR DARI AGAMANYA

Di antara keistimewaan ajaran Islam ialah sifatnya yang syumul iaitu mencakupi keseluruhan aspek kehidupan manusia. Walaupun mungkin penganut agama-agama selain Islam mendakwa bahawa agama mereka juga berciri " way of life' namun mereka tidak dapat membuktikannya dan tidak akan dapat membawa hujah dengan bukti yang lengkap. Ulama-ulama fiqh Islam telah menulis dengan lengkap perlembagaan dan perundangan Islam. Mereka telah membahagikan perundangan tersebut kepada peranan individu, hal ehwal perkahwinan, hal ehwal kemasyarakatan dan ekonomi serta perundangan negara dan antarabangsa.

Dari segi amalan peribadi, solat lima waktu sehari semalam umpamanya merupakan amalan rutin dan minima setiap muslim yang beriman. Dari segi ini sahajapun, seorang Islam itu sudah melebihi penganut agama-agama yang lain. Ini adalah kerana mereka tidak melakukan ibadat sembahyang sekerap seorang muslim. Cuba kita bandingkan pula amalan puasa sebulan ramadhan di waktu siang, penganut agama lain tidak sebanyak itu melakukan puasa seperti muslim. Bahkan penganut-penganut agama lain ada yang melakukan puasa di waktu malam. Itu hanya dikira amalan minima tidak dikira lagi amalan tambahan yang lain berbentuk solat dan puasa. Belum masuk kira lagi amalan-amalan lain seperti zakat dan haji. Kalau diukur dengan sistem-sistem kemasyarakatan, ekonomi dan politik tentu individu cukup berbangga dengan agamanya yang tentunya lengkap dan mengatasi agama-agama lain.

Perlu diketahui, Islam tidak pernah membenarkan hidup kepadrian dan kerahiban dengan erti memisahkan diri dari masyarakat dan hidup membujang tanpa perkahwinan. Agama-agama selain Islam mendakwa bahawa untuk mencapai tahap tertinggi dalam kerohanian maka mereka perlukan cara hidup begitu. Dalam erti kata lain, seorang yang dekat dengan Tuhan adalah orang mengasingkan diri dari masyarakat dan lupa diri. Akal yang sihat tentu akan terfikir, diandaikan semua orang baik mengasingkan diri maka yang tinggal dalam masyarakat hanyalah individu-individu yang jahat dan tidak berakhlak. Maka bagaimana mungkin kerosakan dan kebejatan sosial dalam masyarakat boleh diperbaiki jika tiada individu yang baik. Islam mahukan pemimpin dipilih dari individu yang terbaik dalam masyarakat dan boleh dijadikan contoh yang hidup serta tauladan yang baik.

Islam juga membenarkan umatnya berpakaian kemas serta cantik dan tidak perlu seseorang berpakaian compang-camping, selekeh dan berselipar jepun atau berkaki ayam, semata-mata untuk menghampirkan diri kepada Allah. . Semua itu tiada bezanya di sisi Allah kerana yang dinilai ialah hati dan amalan hambanya. Bahkan Islam menwajibkan umatnya menutup aurat supaya tidak menimbulkan kegelisahan di hati orang lain yang memandang. Hayati firman Allah :
" Hidup kerahiban yang mereka ada-adakan itu, tidaklah kami tentukan buat mereka untuk mencari keredhaan Allah. Justeru, tidaklah mereka memeliharanya dengan sebenarnya.... " ( 57 : 27 )

Begitu banyak sekali kemudahan dan kelonggaran yang diberikan oleh Islam kepada penganutnya untuk menjadi manusia yang maju dan produktif. Mana-mana muslim yang murtad dari agamanya tentulah seorang yang mempunyai mental yang bermasalah dan tidak mampu memahami agama dengan baik akibat masyarakat yang kurang menyokong ke arah itu. Mana-mana yang terlihat kekurangan maka itu bukan dari ajaran Islam tapi kelemahan penganutnya.

FAHAM KEBENDAAN DARI PERSPEKTIF ISLAM

Islam memerangi faham kebendaan kerana ia adalah fahaman yang bertunjangkan kesyirikan. Faham yang asasnya tidak mempercayai perkara ghaib iaitu kepercayaan kepada Allah dan hari akhirat. Dari fahaman inilah lahirnya pemujaan kepada berhala. Kajian peninggalan zaman purba mendapati banyak puing-puing dan artifak kaum yang memuja berhala. Pemuja-pemuja fahaman ini menjadikan patung-patung yang pelbagai jenis dan bentuk sebagai pembayang kepada Tuhan yang ghaib. Ada arca yang berbentuk manusia yang ditambahkan dengan bilangan tangan yang banyak. Ada patung wanita yang menunjukkan Tuhan itu ada berjantina seperti perempuan. Ada juga dalam bentuk binatang kerana Tuhan mengasimilisasikan dirinya kepada bentuk binatang. Inilah bayangan-bayangan mereka terhadap Tuhan dan betapa mereka teraba-raba dalam mencari sifat-sifat dan zat Allah. Ada juga dalam bentuk manusia sebagai insan soleh semasa hidupnya dan telah diangkat menjadi dewa. Apabila dikritik bahawa patung-patung tersebut tidak bernyawa bahkan mereka sendirilah yang membuatnya, mereka akan mengemukakan alasan-alasan seperti mereka bukanlah menyembah berhala tersebut tetapi sebagai perantara untuk mendekatkan lagi diri mereka kepada Tuhan. Islam menentang hebat fahaman ini dengan mewajibkan para penganutnya supaya berhubung terus dengan Allah tanpa memerlukan apa-apa perantaraan.

Fahaman kebendaan ini telah lama bertapak di dunia ini. Al quran mengungkapkan sejarah penyembahan berhala bermula seawal zaman nabi Nuh a.s. Kaum Nuh telah dibersihkan dengan meninggalkan zuriat yang beriman. Setelah diganti dengan generasi berikutnya yang sudah kurang menghayati Islam, fahaman kebendaan telah mula meresap masuk dan lama kelamaan mereka meninggalkan solat dan akhirnya menemui kesesatan. Maka bermulalah era penyembahan kepada hawa nafsu. Pada mulanya mereka menjadikan gambar dan arca sebagai mengingati orang yang mereka sanjung dan puja. Lama-kelamaan ia menjadi adat dan kebiasaan. Setelah itu bermulalah episod pemujaan dan penyembahan.

Era baru pemujaan kepada hawa nafsu dan kebendaan telah bertukar dengan penjelmaan dalam bentuk yang baru berupa fahaman dan isme yang dipelbagaikan supaya dapat memerangkap insan-insan yang lemah dan sombong takbur. Orang yang memahami maksud syariah tentu tahu bahawa maksud pengabdian yang murni ialah dengan membuang penyembahan kepada kebendaan berbentuk spiritual. Adapun berhala dan patung adalah manifestasi dari penyembahan jiwa nurani. Oleh kerana itulah Nabi Muhammad di era awal dakwah baginda tidak memerintahkan pengikut-pengikutnya supaya meruntuhkan dan menghancurkan berhala-berhala sekeliling kaabah.

Maksud faham kebendaan bukanlah bermakna kita tidak boleh memiliki harta ataupun wang ringgit. Islam bahkan menggalakkan secara tidak langsung kita mencari harta. Sebagai contoh terdapat ayat Al Quran yang menggalakkan kita berpakaian indah ketika mengimarahkan masjid, mewajibkan dan menggesa ummat Islam supaya mengeluarkan zakat dan bersedekah, mewajibkan muslimin pergi menunaikan haji ke Makkah dan berkorban harta demi menegakkan jihad. Ini semua tidak lain menunjukkan bahawa harta dan wang ringgit adalah perlu demi menegakkan agama. Perlu juga difahami kebendaan di sini bukan hanya bermakna barang-barang berjisim. Bahkan ia bermaksud faham atau cara berfikir yang tidak berteraskan kepada Iman iaitu kepercayaan kepada perkara-perkara ghaib seperti Allah dan Hari Akhirat.

Hayati firman Allah : " Hai anak-anak Adam, pakailah perhiasanmu ketika tiap-tiap sembahyang...." ( 7 : 31 )




FAHAM KEBANGSAAN : BERTENTANGAN DENGAN ISLAM

Faham Kebangsaan adalah salah satu dari pecahan-pecahan Faham Kebendaan. Golongan pejuang faham kebendaan ini akan mempertahankan ideologi mereka bahawa ada hadith yang menyebutkan bahawa kasihkan negara adalah sebahagian dari iman. Itulah kalimah yang benar tapi yang dimaksudkan adalah kebatilan. Kedangkalan mereka dalam memahami akar tunjang Islam telah menyebabkan mereka menghalalkan apa dilarang oleh Islam.

A`sobiyyah atau Nasionalisme atau faham kebangsaan ini bermaksud menolong dan menyokong bangsa sendiri di atas kezaliman. Bila disebut perkataan zalim selalunya kita akan memahami ia bermaksud menganiyaya atau menyebabkan orang lain menderita. Perlu disedari itu semua adalah kemuncak kezaliman. Tapi Islam sebagai agama yang bersifat mencegah, dari awal-awal lagi telah menitik beratkan sesuatu perkara tidak baik dan menghalang dari bercambah sejak dari benih lagi. Di sinilah terletak rahsia mengapa syirik itu adalah kemuncak kezaliman. Daripada akidah syirik inilah yang melahirkan kekufuran dan akhirnya membawa kepada kebejatan sosial dan kerosakan di muka bumi.

Sikap memandang sebelah mata terhadap salahlaku dan jenayah yang dilakukan anak bangsa sendiri telah mengundang banyak kemelut di negara ini khususnya dan seluruh dunia amnya. Dari pegangan a`sobiyyah inilah lahirnya sikap pilih kasih dan kronisme. Mengambil sikap luncai terjun dengan labu-labu pada awalnya, menyembunyikan masalah di bawah permaidani dan akhirnya menjadi dilema yang membarah dan tidak mungkin disembuhkan lagi. Pelbagai undang-undang dan peraturan yang diluluskan tapi tidak dikuatkuasakan kerana melibatkan orang dalaman dan pihak atasan.

Ada pendapat yang mengatakan bahawa bangsa Yahudi telah berada di kemuncak seperti sekarang ini kerana memperjuangkan bangsa. Tidakkah golongan itu sedar bahawa dunia ini porak peranda kerana sistem yang dicipta oleh Yahudi. Tidakkah mereka insaf bahawa untuk Yahudi berada di tempat seperti sekarang ini, bangsa mereka sendiri telah dikorbankan dalam perang dunia pertama dan kedua. Itulah kesudahan perjuangan kebangsaan. Akhirnya mengorbankan dan menghancurkan bangsa sendiri. Mereka sanggup melacurkan apa-apa sahaja kaedah dan cara asal sahaja matlamat yang dikejar tercapai.

Kenapa negara-negara umat Islam yang ada hari ini dipandang sinis oleh negara-negara lain. Jawabnya umat Islam telah menggunakan cara yang tidak dibenarkan Islam itu sendiri. Umat Islam telah mengguna pakai perjuangan nasionalisme. Mereka memperjuangkan fahaman itu untuk mencapai kemerdekaan dari penjajah dan mengikut telunjuk dan syarat penjajah demi mencapai kemerdekaan. Apabila kemerdekaan telah dicapai bererti matlamat telah dicapai dan mereka mula leka memperjuangkan Islam dan akhirnya mengabaikan dan mengorbankan bangsa sendiri yang ramai demi menambah kekayaan dan mempertahankan kuasa segelintir dari mereka.

Apa yang pasti pejuang-pejuang kebangsaan ini tidak sedikitpun rasa bersalah dan menanggap itu semua adalah keperluan dalam perjuangan mereka. Anak bangsa mereka akan terus dibuai dengan kata-kata manis dan mereka hanyut dalam khayalan. Apabila terkejut mereka telahpun lemas dan parah. Kalau nasib tak menyebelahi, tentu harga dan maruah bangsa telah tergadai. Apakah daya nasi telah menjadi bubur.


Hayati firman Allah : ".... Janganlah engkau mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan itu adalah aniaya yang besar. " ( 31 : 13 )

Hayati Sabda Rasulullah s.a.w : " Bukan dari kalangan kami mereka yang menyeru a`sobaiyyah. Bukan dari kalangan kami mereka yang mati di atas a`sobiyyah dan bukan dari kalangan kami mereka yang mati kerana a`sobiyyah."

Wednesday, November 5, 2008

PERANAN AKAL

Kita tidak boleh nafikan perkara ini kerana Allah telah menjadikan alam dan semesta sekelian. Begitulah juga dengan manusia yang dicipta kemudian. Sudah tentu Allah tahu apa yang diperlukan oleh manusia sesuai dengan ciptaannya. Oleh kerana terciptanya akal dan nafsu, maka di situlah letaknya cabaran bagi seseorang manusia. Dalam kebanyakan hal nafsulah yang mempengaruhi akal. Walaupun manusia itu beranggapan bahawa dialah pengguna akal yang terbaik. Kekeliruan antara akal dan nafsu inilah yang sering memerangkap manusia. Islam sebagai agama universal menggalakkan umatnya menggunakan dan mengutamakan akal dengan sebaik mungkin. Oleh itu dalam setiap tindakan kita hendaklah sentiasa bertanya diri sendiri adakah itu seruan akal atau bisikan nafsu.

Ramai manusia yang tidak memahami hakikat bahawa akal dan nafsu hanyalah alat untuk melengkapkan kehidupan di dunia. Setiap manusia dilahirkan dengan hawa nafsu dan naluri yang lengkap tetapi akal yang perlu dipenuhi dan dihiasi. Ciri-ciri seperti marah, cemburu, sedih dan sebagainya sudahpun wujud bersama lahirnya manusia. Akan tetapi ciri-ciri akal seperti kebolehan membaca perlu diusahakan. Kalau nak dibandingkan bolehlah diumpamakan seperti bekas kosong yang perlu diisi atau seperti komputer yang baru keluar dari kilang. Komputer itu akan beroperasi mengikut memori yang dimasukkan. Begitu jugalah akal yang akan beroperasi mengikut apakah 'input' yang dimasukkan. Nabi s.a.w ada bersabda : " Setiap manusia dilahirkan mengikut fitrah. Ibu bapanya lah yang menjadikan dia Yahudi atau Nasrani ".

Ibubapa mempunyai pengaruh yang paling kuat kepada anak-anak dalam membentuk sahsiah peribadi sehinggalah sampai ke akhir hayat. Agama merupakan pegangan hidup dan akan dipegang sampai bila-bila serta paling sukar dirungkai. Seseorang yang ingin menukar agama perlu membuat pengorbanan yang maha besar dalam hidupnya. Oleh itu tidak syak lagi ibubapa adalah pemain peranan utama dalam menentukan ciri-ciri peribadi seseorang itu. Pengaruh yang tidak kurang penting ialah guru dan pendidik.

Di era langit terbuka dan ekonomi bebas seperti sekarang nampaknya pengaruh-pengaruh tersebut menjadi semakin kompleks. Apabila seseorang itu meningkat dewasa maka perasaan ingin tahu semakin hebat dan mencabar. Ketika itu pengaruh kawan dan sahabat mengambil tempat ibubapa. Pengaruh ini ada positif dan negatifnya, akan tetapi yang paling dibimbangkan adalah yang menjurus ke arah keburukan. Keburukan itu ditambah lagi dengan dasar langit terbuka yang mendedahkan kepada budaya dan dunia luar. Sebaran cepat melalui alat komunikasi seperti internet dan telefon mudah alih menyukarkan lagi usaha ibubapa untuk mengawal anak-anak mereka.

Sebagaimana yang disebutkan di atas, akal hanya merupakan alat dan ia sebenarnya memerlukan ilmu dan kepakaran sebelum seseorang dapat menggunakannya sebaik mungkin. Oleh kerana akal dianugerahkan secara percuma maka sifat kesyukuran selalu diabaikan. Peranan dan fungsi akal selalu diabaikan sehingga ia melarat kepada menyokong emosi dan perasaan semata-mata. Sebagai contoh, seseorang yang memiliki alat bertukang tak semestinya dia boleh menjadi tukang yang mahir kalau dia tiada pengetahuan dan kemahiran pertukangan. Begitulah juga seorang yang mempunyai akal tidak semestinya dia berfikir dengan cara yang betul dan tentu tindakannya juga tidak betul. Untuk memantapkan penggunaan akal tersebut seseorang itu memerlukan ibubapa, pendidik, sahabat dan suasana yang baik. Semuanya ini mempengaruhi gaya pemikiran seseorang.

Satu perkara yang tidak kurang penting juga dalam proses berfikir ialah keterbukaan dalam menerima pendapat yang berbeza. Di sini selalunya faktor emosi memainkan peranan untuk mempengaruhi dalam membuat keputusan. Oleh itu terlalu penting bagi kita membuang emosi dan mainan perasaan dan menyerahkan kepada kekuatan hujah dan dalil. Seseorang itu boleh berpegang kepada mana-mana pendapat pada sesuatu masa tapi tidak boleh taksub dengan pendapat tersebut. Ini adalah kerana mungkin masa akan menghukum apakah pendapat tersebut boleh diketengahkan ataupun tidak. Jadi faktor masa juga adalah penting. Mungkin sesuatu kes tidak dapat ditentukan dalam masa yang singkat. Jadi sikap neutral memainkan peranan dalam perkara itu. Kekuatan mental diperlukan untuk mendengar hujah dari pendapat-pendapat yang lain. Semakin banyak pendapat yang dinilai tentu akan menambahkan lagi kekuatan pada pendapat yang akan dipegang oleh kita.

Maka hayatilah firman Allah dalam Al Quran yang bermaksud "Gembirakanlah mereka yang mendengar pendapat kemudian mengikut yang terbaik.." ( 39 : 18 )